PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menolak dakwaan daripada media Sepanyol yang mengatakan bahawa penyerang prolifik, Erling Haaland tidak gembira dengan kehidupannya di bandar berkenaan.
Terdapat dakwaan bahawa penyerang antarabangsa Norway itu tidak menyukai Manchester City dan faktor cuaca juga membuatkan Haaland mahu meninggalkan kelab itu.
Malah, ada juga laporan menunjukkan Real Madrid sedang mengambil kesempatan keadaan Haaland di City tetapi Guardiola tidak mengambil serius mengenai khabar angin itu.
“Anda perlu bertanya kepada media dari Madrid jika dia (Haaland tidak gembira di sini (Manchester City)
“Mungkin mereka mempunyai lebih banyak maklumat daripada kita.Kami tak rasa yang Haaland kurang gembira di sini. Keadaan dia kerana terlepas peluang bermain.
“Dia mengalami kecederaan selama dua bulan. Namun, siapa tahu mungkin media dari Sepanyol, terutamanya Madrid, mempunyai lebih banyak maklumat daripada kami,” kata pengendali dari Sepanyol tersebut.
Haaland kembali beraksi dalam kemenangan 3-1 juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke atas Burnley pada Rabu selepas diketepikan 10 perlawanan susulan kecederaan kaki
Pemain berusia 23 tahun itu boleh menjadi kesebelasan utama dalam aksi City bertandang ke Burnley pada Isnin untuk menambah 19 gol dalam semua pertandingan yang telah dijaringkannya musim ini.
BACA LAGI: Haaland sanggup terlepas aksi EPL demi kekal 'fit' jumpa bekas lawan JDT
Haaland mencetak 52 jaringan dalam semua pertandingan Manchester City pada musim lalu. — Agensi
BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati tindakan ref di padang, Haaland lepas geram di Twitter
“Kami tidak boleh mengatakan dia tidak cepat menyesuaikan diri. Tapi kini dia berada dalam keadaan kurang mengizinkan.
“Kita tidak boleh kawal apa yang orang cakap tapi yang penting dia gembira. Apabila dia tidak berpuas hati dengan keadaan di sini, dia akan mengambil keputusannya,” tambah Guardiola.
Haaland tidak menjadi penjaring selepas turun dari bangku simpanan ketika menentang skuad Clarets namun dalam penampilan singkatnya, Guardiola merasakan penyerang itu mempunyai pengaruh tersendiri dalam pasukan.
“Dia bermain 25 minit dan setiap peralihan, setiap hantaran, semua pemain memandangnya. Saya tahu betapa pentingnya dia untuk Manchester City
“Kami cuba untuk buat semua penyerang gembira, terutamanya dia, dan ia bergantung kepada cara kami bermain. Jika kami bermain agak selesa dan bagus, dia akan mendapat banyak bola.
"Ini yang kami mahu dan selepas itu Haaland yang akan menterjemahkan peluang yang ada untuk mencetak gol,” jelasnya.
Kemunculan kembali Haaland serentak dengan permulaan pertama Kevin De Bruyne sejak Ogos dan kepulangan John Stones daripada kecederaan buku lali.
Ditanya sama ada Haaland kini bersedia untuk bermula, Guardiola tanpa berdolak-dalih yakin penyerang tinggi lampai itu akan diturunkan sebagai kesebelasan utama The Citizens itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram