'Masih kemaruk guna VAR', bukan Fandi saja pening kepala tengok Hidalgo kena kad merah


  • Podium
  • Khamis, 25 Apr 2024

Mohd Hasrol melayangkan kad merah kepada Hidalgo (kanan) pada perlawanan pramusim di Kota Bharu. — Facebook/SriPahang

AKSI pemanas badan antara Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada skuad Tok Gajah diwarnai dengan insiden kontroversi melibatkan penyerang sayap, Manuel Hidalgo.

Perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu itu menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menguji kali kedua sistem bantuan Video Semakan Pengadil (VAR) sebelum ia benar-benar diaplikasikan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Untuk rekod, kali pertama teknologi berkenaan digunakan dalam aksi pramusim antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan Brendan Gan menjadi mangsa pertama dilayangkan kad merah hasil semakan VAR.

Hidalgo menjadi pemain kedua dilayangkan kad merah selepas teknologi VAR berhasil mengenal pasti pemain kelahiran Argentina berkenaan mengasari pertahanan tuan rumah minit ke-45 perlawanan.

Pengadil yang bertugas pada aksi Tok Gajah menentang KDN FC, Mohd Hasrol Mohd Amir membuat keputusan itu selepas meneliti monitor VAR pada masa tambahan dengan yang diberikan sebanyak lapan minit pada babak pertama.

BACA LAGI: [VIDEO] Angle kamera VAR satu sudut saja, ramai tak setuju kad merah Brendan Gan

WhatsApp Image 2024-04-25 at 13.49.51

Reaksi Fandi selepas Hidago dilayangkan kad merah. — Facebook/SriPahang

Kad merah Hidalgo hasil semakan VAR berkenaan bukan hanya memeningkan kepala jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad yang terakam raut wajahnya pada lensa kamera, malah penyokong juga melahirkan rasa tak puas hati.

"Bentasan Hidalgo tidak sengaja dan bukan niat untuk mencederakan pun dikenakan kad merah," kata penyokong Tok Gajah, Muslim Sejati.

"Pengadil kita ini kelakar, setiap perlawanan lah ada kad merah nanti. Masa tambahan paling lama pun 30 minit," bagi penyokong Sri Pahang, Zeri TGB.

"Pengadil ini patut kena kursus lagi pasal VAR. Gelecoh sikit nak VAR, masih kemaruk guna VAR. Habislah begini. Perlawanan mula 9.00 malam boleh habis subuh ini," kata penyokong Tok Gajah, Mohd Rasul.

BACA LAGI: Kedah FC tetap dipotong 3 mata kena denda RM50,000, belum lunaskan gaji Lee Tuck dan Jonathan Balotelli

WhatsApp Image 2024-04-25 at 13.58.06

Mohd Hasrol ketika meneliti monitor VAR. — Facebook/SriPahang

Walaupun VAR memberi manfaat kepada pasukan tuan rumah, KDN FC gagal menggunakan sebaik-baiknya sepakan penalti yang diberikan dan kemenangan Tok Gajah disumbangkan menerusi jaringan gol dari Stefano Brundo pada minit ke-40.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan seramai 22 pengadil ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil sebagai AVAR (Assistant Video Assistant Referee), sembilan pengadil sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro sebagai Replay Operator (RO).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, tambahan 17 penolong pengadil dipanggil untuk menyertai seminar VAR 2024 bagi membolehkan mereka dilantik sebagai penolong pengadil satu dan dua bagi perlawanan yang menggunakan teknologi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram