Tak mustahil Zaquan Adha, bekas anak murid dalam radar Rezal Zambery mantapkan KDN FC


  • Podium
  • Khamis, 21 Mac 2024

Rezal pasti diharapkan mampu mengangkat skuad Kijang Emas ke tahap lebih tinggi musim depan. — Facebook/KDN FC

TEKA-TEKI mengenai pengendali Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim depan akhirnya terjawab apabila mereka mengumumkan Rezal Zambery Yahya dipilih mengisi jawatan itu.

Dia yang sebelum ini bergelar Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United diberikan kepercayaan selepas pernah membawa Kelantan FC menjadi naib juara Liga Perdana 2022.

Gaya permainannya yang mementingkan hantaran pendek serta kesungguhan pemain membuatkan pemilihannya itu cukup disenangi penyokong.

Tetapi, dalam memastikan pendekatan permainannya dapat diterapkan, skuad Kijang Emas perlu mendapatkan pemain yang sesuai dengan jurulatih kelahiran Johor berkenaan.

BACA LAGI: Lepas sambar Khatul dari Penang, ada pula mahu lihat KDN rekrut bintang terperap Kedah

432035560_851101790362810_1246139241531701590_n

Rezal (kanan) dipilih sebagai ketua jurulatih melihat kepada pengalamannya sebelum ini. Facebook/KDN FC

Melihat kepada struktur kewangan, KDN FC pasti sukar mendapatkan nama-nama besar kerana tidak dapat menawarkan gaji lumayan buat mereka.

Namun, sekiranya berpeluang, kelab Pantai Timur berkenaan pasti akan melakukan beberapa perbelanjaan akhir bagi mempersiapkan pasukan.

Selain perlu membawa masuk pemain berkualiti, masih terdapat ruang buat kelab terbabit mencari seorang jurulatih untuk digandingkan dengan Rezal musim depan.

Jadi, sekiranya dilihat kepada pasaran semasa, berikut merupakan tiga nama masih boleh disambar KDN FC untuk mengisi kekosongan dari segi kejurulatihan mahupun skuad.

1. Zaquan Adha Abdul Radzak

Keputusan Negeri Sembilan FC menamatkan kontrak penyerang merangkap kapten pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak menerima respons mengejutkan daripada peminat bola sepak tanah air.

Dia yang sehingga kini bergelar ejen bebas berpotensi menyertai mana-mana kelab Liga Super dengan sikap kepimpinannya sukar diperoleh di pasaran semasa.

Tetapi, dengan dia kini sudah berusia 36 tahun, bekas pemain kebangsaan itu akhirnya memilih untuk menamatkan karier dan meluahkan hasrat untuk menceburi bidang kejurulatihan.

BACA LAGI: Didakwa ada isu gaji bikin kelab Liga Super berminat borong bintang KDA FC

2590737

Zaquan (kanan) sudah tidak lagi bergelar pemain profesional kini. Facebook/Negeri Sembilan FC

Hal itu diluahkan sebelum ini dengan dia pada awalnya mahu memilih skuad Jang sebagai destinasi pertama sekiranya mahu menjadi jurulatih, namun perkara tersebut pasti sukar direalisasikan.

Jadi, salah satu kelab terbaik buat Zaquan ketika ini ialah KDN FC yang masih memerlukan seorang pembantu kepada Rezal musim depan.

Kedua-dua mereka yang pernah bersama-sama semasa bergelar pemain di ATM FA pasti tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta keserasian di tepi padang.

Bagaimanapun, dengan Rezal pernah membimbing skuad The Red Warriors (TRW), terdapat kemungkinan dia mempunyai barisan kejurulatihan tersendiri buat skuad Kijang Emas.

2. Nurshamil Abd Ghani

Salah satu hasil terbaik daripada tempoh kejurulatihan singkat Rezal bersama Kelantan FC adalah apabila dia berjaya menghasilkan penyerang berkualiti, Nurshamil Abd Ghani.

Pemain yang menjaringkan lapan gol pada musim 2022 itu menyaksikannya membawa pulang Kasut Emas Liga Perdana dengan ia melonjakkan lagi reputasinya.

Namun, prestasi itu gagal diulangi ketika skuad TRW berada di pentas Liga Super apabila dia hanya merekodkan satu jaringan dalam tujuh penampilan.

We+do+the+best+,+allah+do+the+rest++.+Comeback+stronger+++.

Nurshamil berstatus ejen bebas selepas kontraknya tidak disambung skuad The Cats. Facebook/Kuching City FC

Harapannya untuk kembali bangkit bersama Kuching City FC juga tidak tercapai selepas memilih untuk menyertai kelab Borneo berkenaan pada jendela perpindahan kedua musim lalu.

Tetapi, sekiranya Nurshamil dapat kembali berganding dengan Rezal, terdapat kemungkinan dia dapat menemui semula sentuhan penyudahnya di hadapan pintu gol.

KDN FC berpeluang mendapatkan khidmat anak jati Melaka itu yang kini difahamkan tidak lagi terikat dengan mana-mana kelab setelah kontraknya tamat bersama skuad The Cats.

Malah, kehadirannya juga pasti akan dapat meningkatkan kepercayaan penyokong terhadap potensi mereka dalam Liga Super memandangkan pasukan itu masih belum memiliki seseorang yang terbukti di posisinya.

3. Ikhwan Hafizo

Setakat ini, rata-rata pemain yang dilepaskan Perak FC pada awal jendela perpindahan lalu, terutamanya 'ubi muda' masih belum disambar mana-mana kelab Liga Super.

Ia membuka pintu luas buat KDN FC sekiranya mereka mahu memperkuatkan skuad dengan bahagian tengah memerlukan seorang yang berkualiti serta bertenaga.

Salah seorang calon terbaik boleh diketengahkan pastinya Ikhwan Hafizo yang memulakan musim lalu cukup baik dengan jaringan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.

“Teamwork+makes++the+dream+work+++”#88+#workhard

Ikhwan memiliki bakat besar untuk menjadi pemain tengah berkualiti. Facebook/Perak FC

Tetapi, sejak itu, namanya mula dilupakan dengan hanya 14 penampilan sempat direkodkannya dalam Liga Super sebelum dia disisihkan Yusri Che Lah.

Jadi, sekiranya KDN FC memerlukan seseorang yang mampu menyelesaikan isu kekurangan pemain, Ikhwan boleh disambar sebelum jendela perpindahan ditutup.

Meskipun pengalaman pemain berusia 21 tahun itu terhad, ia bukanlah halangan besar buat Rezal yang dikenali dengan kebolehan mengasah bakat-bakat muda.

Selain itu, tekanan pasti tidak akan diletakkan di bahu Ikhwan memandangkan penyokong Kijang Emas enggan meletakkan sasaran besar buat pasukan itu musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram