Adakah benar dakwaan SPRM hanya siasat, tangkap 'ikan bilis' dan biarkan 'ikan jerung' terlepas?


  • Massa
  • Khamis, 18 Apr 2024

SPRM sering dikatakan hanya menangkap perasuah tahap 'ikan bilis' sahaja. — THE STAR

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sering ditularkan dalam media sosial dikatakan banyak menyiasat dan menangkap suspek kes-kes jenayah rasuah melibatkan pegawai awam yang dimomokkan sebagai 'ikan bilis' di kaca mata masyarakat.

Ada pula dalam kalangan mereka mengelarkan SPRM sebagai agensi tiada taring, dan pengecut hanya berani menangkap 'ikan bilis' sahaja. Persoalannya, sama ada 'ikan bilis' atau 'ikan jerung', itu bukan isunya.

Orang awam sering membandingkan 'ikan bilis' tersebut dengan ahli politik, anggota pentadbiran seperti menteri, timbalan menteri kabinet, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau tokoh-tokoh korporat sebagai 'ikan jerung'.

Perlu diingatkan bahawa, pegawai awam yang dikategorikan 'ikan bilis' ini, ada kalanya boleh mengatasi peranan ahli politik, menteri kabinet, exco atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan atau swasta berstatus 'ikan jerung'.

Malah, lebih bahaya lagi jika ada dalam kalangan pegawai awam ini, menjadi "macai" atau "balaci" iaitu sebagai orang tengah antara anggota pentadbiran seperti menteri kabinet, exco atau ahli-ahli politik yang memegang jawatan pengerusi dalam agensi kerajaan (GLC), syarikat atau kontraktor untuk mendapatkan habuan suapan rasuah dengan meluluskan lesen perkhidmatan, permit, tender kerajaan secara rundingan terus atau tender tertutup.

BACA LAGI: Fenomena ‘benci tapi suka’ petanda budaya pemikiran picisan?

The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) chief commissioner Tan Sri Azam Baki said the anti-graft body would be calling witnesses as part of its investigation on the LCS scandal. — THOMAS YONG/The Star

Tan Sri Azam Baki merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM. — THE STAR/THOMAS YONG

Pegawai awam jenis ini selalunya akan mendapat habuan hasil jenayah rasuah daripada anggota pentadbiran tersebut dan dari pihak syarikat atau kontraktor terlibat. Ada ketikanya mereka lebih kaya daripada seorang ahli politik atau anggota pentadbiran tersebut kerana dia banyak memainkan peranan dan mendapat habuan daripada ramai ahli politik atau anggota pentadbiran dan syarikat-syarikat terlibat.

Ramai dalam kalangan anggota masyarakat termasuk ahli-ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan tidak menyedari bahawa pegawai awam yang dikategorikan 'ikan bilis' juga boleh menjadi 'ikan jerung'.

Sebagai contoh, kes jenayah rasuah melibatkan pegawai awam berjawatan penolong setiausaha bahagian kewangan gred 41 sebuah kementerian yang terlibat dalam urus setia jawatankuasa tender menerima suapan rasuah daripada syarikat yang memasuki tawaran tender sebagai balasan membocorkan maklumat tender atau kes seorang ketua jabatan gred 52 sebuah agensi kerajaan telah meluluskannya kepada syarikat yang dia ada kepentingan atau saham dalam syarikat tersebut.

Ada kes di mana pegawai awam ini boleh mengumpul hasil jenayah rasuah sehingga ratusan juta ringgit dalam bentuk wang tunai atau hartanah.

Sebagai contoh, kes melibatkan seorang ketua jabatan di Sabah yang telah ditangkap oleh SPRM pada tahun 2016 dan didakwa di mahkamah kerana telah memperoleh hasil jenayah rasuah dan pengubahan wang haram hasil jenayah rasuah hampir mencecah RM100 juta daripada kontraktor yang terlibat dalam projek infrastruktur di sana.

Begitu juga kes melibatkan pegawai dan anggota penguat kuasa undang-undang yang memperoleh suapan rasuah daripada penjenayah, tauke perjudian, sindiket pelacuran atau penyeludup barang terlarang dalam kegiatan-kegiatan haram seperti pelacuran, pengedaran dadah, perjudian, rumah urut haram, pemerdagangan manusia, kecurian pasir, salah guna permit kerja, dan penyeludupan barang terlarang.

Kes-kes ini adalah melibatkan peranan pegawai awam yang dikatakan oleh orang awam atau masyarakat sebagai 'ikan bilis'. Mereka terlibat boleh mengumpul habuan rasuah sehingga berpuluh-puluh juta ringgit hasil kegiatan haram itu.

E701F013-E94B-4643-B905-FD4D3B8B654B

Datuk Seri Najib Razak pernah ditangkap atas isu rasuah. — Agensi

Masyarakat tidak sedar bahawa perbuatan perasuah 'ikan bilis' ini, bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil dan perbelanjaan kerajaan tetapi perbuatan pegawai awam ini boleh memberikan kesan buruk kepada keselamatan nyawa, harta benda dan keselamatan negara.

SPRM tidak pernah memilih siapa pelaku jenayah rasuah itu tanpa mengira pangkat atau kedudukannya. Semuanya akan dilayan sama rata oleh SPRM kerana suapan rasuah tetap satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang. Rekod SPRM telah membuktikan bahawa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, SPRM telah menyiasat dan menangkap pelbagai golongan sama ada 'ikan bilis' atau 'ikan jerung'. Perkara ini sering tersiar dalam media massa dan media sosial.

Sejak Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditubuhkan (sekarang dikenali SPRM), terdapat kes- kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam terdiri dalam kalangan individu atau ahli politik yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri, ahli politik parti pembangkang dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang pernah disiasat oleh BPR dan SPRM sehingga berakhir dengan pendakwaan, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Antaranya adalah:

  • Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia (Umno)
  • Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor (Umno)
  • Datuk Dzulkifli Abdul Hamid, Menteri Kewangan Sabah (Usno)
  • Senator Ariffin Salleh, Ahli Dewan Negara
  • Dr Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor (Umno)
  • Datuk Pairin Kitingan, Ketua Menteri Sabah (PBS)
  • Datuk Waad Mansor, Exco Negeri Sembilan (Umno)
  • Datuk Muslim Othman, Exco Negeri Kedah (Umno)
  • Datuk Azman Mahalan, Exco Negeri Perak (Umno)
  • Datuk Shahar Arpan, Exco Negeri Melaka (Umno)
  • Datuk Abdul Ghani Ishak, Exco Negeri Melaka (Umno)
  • Loh Chee Heng, Adun Telok Datok, Negeri Selangor (DAP)
  • Yap Soo Sun, Adun Teratai, Negeri Selangor (GERAKAN)
  • Badarudin Ahmad, YDP Majlis Perbandaran Kangar, Perlis
  • Mohd Firdaus Ramlan, Majistret Mahkamah Kuala Krai, Kelantan
  • Lim Cheah Yit, Peguam Kanan Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang
  • Hassan Basri Shafie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak
  • Shahrunnazri Ab Samad, Ketua Pendakwaraya Syarie, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP).

Berasaskan senarai tersebut di atas, ternyata bahawa sejak penubuhan BPR (sekarang SPRM), agensi antirasuah itu tidak berpihak kepada mana-mana ahli politik atau parti politik sama ada yang memerintah kerajaan atau parti pembangkang. Apatah lagi terhadap mana-mana pegawai tinggi perkhidmatan awam.

Jika masih ada dalam kalangan ahli politik atau orang awam khususnya media sosial menyatakan SPRM berat sebelah atau menuduh mereka sebagai 'barua; kepada pemimpin politik yang memerintah kerajaan. Hal ini adalah di luar kawalan SPRM dan mereka berniat jahat.

Hakikat sebenarnya SPRM akan bertindak ke atas sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan jenayah rasuah tanpa mengira seseorang itu, pemimpin parti politik kerajaan memerintah atau parti pembangkang, Perdana Menteri, menteri Kabinet atau Exco.

Catatan sejarah negara telah membuktikan pada 23 Ogos 2022, Datuk Sri Najib menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama dipenjarakan setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda kerana kesalahan jenayah rasuah dalam bentuk salah guna jawatan atau kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dana syarikat yang kerajaan mempunyai kepentingan iaitu Syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Keputusan ini juga menyaksikan Perdana Menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

BACA LAGI: [VIDEO] Amaran tsunami, penerbangan MAS batal ekoran letusan Gunung Ruang

E9794CE6-2BEF-4964-83D6-4A6DF706EA4E

Selain Najib (kiri), Datuk Seri Shafie Apdal juga pernah ditangkap SPRM. — Agensi

Di samping itu, ada beberapa kes berprofil tinggi berkaitan jenayah rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang hasil kegiatan haram melibatkan bekas Menteri Kabinet, Ahli Parlimen, pengerusi agensi badan berkanun, GLC dan ahli-ahli politik yang masih dalam siasatan SPRM, perbicaraan di mahkamah dan ada yang telah disabitkan hukuman oleh mahkamah tetapi masih menunggu rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Oleh itu, semua pihak perlu akur SPRM adalah agensi antirasuah yang bebas dan telus, menjalankan siasatan tanpa memilih bulu dan tidak membezakan antara semua pihak dalam menjalankan tugasnya. Sekiranya seseorang itu disyaki melakukan kesalahan jenayah rasuah, SPRM akan mengambil tindakan menjalankan siasatan ke atas individu tanpa mengira pangkat atau kedudukan atau parti politik.

Masyarakat perlu sedar bahawa ada ketikanya kes 'ikan bilis' ini memberi implikasi besar kepada ahli masyarakat yang menjadi mangsa perasuah. Sebagai contoh, kes seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) telah meminta dan menerima suapan rasuah RM100 daripada seorang pemandu teksi kerana kesalahan trafik sebagai balasan tidak mengeluarkan saman.

saman

Gambar hiasan: rasuah boleh berlaku di mana-mana peringkat. — Agensi

Kes ini nampak kecil di mata masyarakat, namun bagi pemandu teksi itu, jumlah tersebut amat besar dan mungkin jumlah itu dapat digunakan oleh dia untuk menampung perbelanjaan sara hidup keluarga untuk dua atau tiga hari.

Melanggar peraturan jalan raya mungkin sekadar dikenakan hukuman denda atau kompaun, tetapi melanggar undang-undang dengan mengambil suapan rasuah boleh ditangkap dan dihukum penjara dan denda oleh mahkamah.

Jika dia seorang pegawai awam, hukuman oleh mahkamah itu boleh menyebabkan dia diambil tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja oleh jabatannya.

"Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji," petikan Hadis Riwayat Ibnu Muslim dan Al-Bukhari. — Majoriti

Malaysian Corupption Watch (MCW) merupakan badan bukan kerajaan yang memantau isu rasuah di Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram