Lelaki mengaku bakar kereta polis di TikTok meringkuk dalam lokap, kena reman 4 hari sampai Isnin


  • 112
  • Sabtu, 17 Feb 2024

Suspek yang membakar kenderaan polis di MRT Mutiara Damansara, Selangor pada Khamis lalu.

SEORANG pekerja p-hailing yang membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan.

“Lelaki terbabit direman bermula Jumaat sehingga 19 Februari (Isnin) ini selepas perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya.

BACA LAGI: 'Done bakar kereta polis, puas hati aku', suspek utama dedah pekung sendiri, terang-terang mengaku di TikTok

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek khianat, bakar kereta di Klang masih siuman, ada 6 rekod jenayah dan positif dadah jenis morfin

Terdahulu, suspek berusia 26 tahun itu dilaporkan ditahan polis di kediamannya di Flora Damansara, Petaling Jaya pada Khamis.

Suspek juga sebelum ini disyaki melakukan vandalisme di perhentian bas sebelum membakar kereta polis, dipercayai bagi meraih tontonan tinggi di TikTok.

Pada masa sama, polis turut merampas beberapa peralatan antaranya tukul besi dan botol air yang dipercayai digunakan untuk mengisi petrol bagi digunakan dalam kebakaran itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram