Piala Thomas: Usah pedulikan Indonesia, tepis cabaran Hong Kong dulu demi slot kalah mati


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Malaysia mesti kalahkan Hong Kong untuk buka jalan ke suku akhir. — BAM

PERJUANGAN Malaysia dalam saingan Piala Thomas bakal bermula pada Sabtu dengan harapan untuk mencari kejuaraan keenam diteruskan selepas kali terakhir muncul juara pada 1992.

Namun begitu, ia bukannya satu tugas yang mudah buat Malaysia apabila mereka diundi dalam kumpulan D bersama-sama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Di saat Denmark dilihat sebagai pasukan terkuat dalam kumpulan, lawan sebenar Malaysia adalah Hong Kong dan mereka wajib ditumbangkan.

Itu adalah pendapat bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim mengenai peluang Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya. Bagi Roslin, pertemuan berdepan Hong Kong akan tentukan ke nasib Malaysia di Piala Thomas.

Sebelum ini, seorang lagi bekas pemain negara, Tan Boon Heong mengatakan Malaysia harus fokus berdepan Indonesia jika bertemu di peringkat kalah mati.

Tetapi, fokus harus dialihkan ke cabaran bertemu Hong Kong sebelum berangan-angan berdepan jiran tetangga tersebut.

BACA LAGI: Setakat mampu ke suku akhir selama ini, 2024 peluang skuad Piala Uber lakar sejarah lebih baik

436338894_18251733814218462_3560187491409408621_n

Lee Zii Jia akan jadi sandaran utama negara mencari mata di Piala Thomas. — BAM

"Dalam kumpulan kita, lawan yang betul-betul kuat itu adalah Denmark. Tapi kita jangan tidakkan keupayaan Hong Kong. Sebenarnya, saya nampak mereka yang akan menjadi penghalang untuk ke suku akhir. Dengan Algeria itu kita mungkin tiada masalah.

"Kita perlu fokus kepada setiap perlawanan. Yang penting, kita perlu menang dengan Hong Kong," kata Roslin kepada Majoriti.

Perlawanan berdepan Hong Kong pada Sabtu amat penting untuk Malaysia. Jika menang, Malaysia dalam keadaan terbaik untuk mara kerana pada Ahad mereka akan berdepan Algeria sebelum menentang Denmark dua hari kemudian.

Dalam masa yang sama, Roslin juga tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap peluang Malaysia untuk pergi jauh dalam Piala Thomas kali ini.

BACA LAGI: Tak kisah pemain nak kuningkan rambut, tapi pastikan 'perform' atas padang — Syed Adney

437736807_18252191503218462_1610743298765077713_n

Terdapat perbezaan daripada kekuatan beregu dan perseorangan dalam skuad Malaysia. — BAM

Bekas pemain perseorangan itu berkata, skuad kali ini tidak begitu seimbang jadi sukar untuk menduga sejauh mana Malaysia boleh pergi jauh.

"Pasukan kita ni tak berapa seimbang. Dari pemain perseorangan hingga beregu, dia tak berapa seimbang. Oleh itu, kita tengok dulu macam mana persembahan mereka di peringkat kumpulan.

"Peluang kita nak cakap mudah pun tidak, susah pun tidak, terlalu susah pun tidak. Bagaimana pun, kita kena berhati-hati apabila berdepan Hong Kong dan Denmark. Kita mesti lakukan persiapan betul-betul, perlu buat fokus betul-betul. Kalau kita menang dengan salah satu pasukan, kita akan mara ke peringkat seterusnya," jelas Roslin.

Sebagai pemain, Roslin pernah mewakili Malaysia dalam Piala Thomas bagi edisi 1998 dan 2002. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram