Tak kisah pemain nak kuningkan rambut, tapi pastikan 'perform' atas padang — Syed Adney


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Syahir Bashah antara pemain yang menerima kritikan pedas penyokong di Piala Asia B-23. — FAM

KEGAGALAN skuad bawah 23 tahun Malaysia (B-23) di Piala Asia B-23 jelas mengecewakan ramai pihak. Di mata penyokong, ia memberikan gambaran yang para pemain muda kita tidak mampu bersaing dan ini mungkin memberi kesan apabila mereka mewarisi skuad senior kelak.

Bagi pihak seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kegagalan ini menutup peluang buat Malaysia untuk kembali ke acara bola sepak di Sukan Olimpik 2024. Di saat kita gagal, seteru tradisi kita iaitu Indonesia semakin hampir untuk Paris, Perancis apabila layak ke separuh akhir Piala Asia B-23.

Apabila gagal, jari telunjuk mudah saja menuding ke arah segala benda. Ada segelintir penyokong yang bertindak menyalahkan disiplin para pemain menjadi penyebab kegagalan Malaysia di Qatar.

Mereka mengecam tindakan pemain yang mewarnakan rambut dan aktif di media sosial hinggakan prestasi di atas padang terabai.

BACA LAGI: Kelab Liga Super mesti berani turunkan pemain muda, buka jalan beraksi di skuad kebangsaan — Syed Adney

440156176_1135610774178824_452520123578839064_n

Terdapat beberapa pemain Harimau Muda yang mewarnakan rambut hingga mengundang kecaman penyokong. — FAM

BACA LAGI: [VIDEO] Main teruk, Mukhairi Ajmal sedar ramai orang tak suka dirinya

Namun begitu, semua itu boleh ditutup jika para pemain beraksi dengan cemerlang. Bagi bekas pemain kebangsaan Syed Adney Syed Hussein, tidak salah untuk pemain mewarnakan rambut atau aktif di media sosial asalkan sentiasa cemerlang di padang.

"Pada pandangan saya kalau nak buat macam tu pastikan prestasi kena bagus. Bila prestasi tak bagus mesti diungkitkan (oleh penyokong). Tapi kalau bagus, tak ada orang akan cakap apa-apa.

"Kalau tanya saya, saya tak kisah sangat kalau nak warnakan rambut tu, tapi kena pastikan persembahan tidak jatuh," kata Adney kepada Majoriti.

Tambah Adney, tidak semua jurulatih melarang pemain mereka untuk berbuat demikian. Ada yang tidak kisah, tetapi terdapat juga yang mahukan pemain mereka tidak terlalu fancy bila bergaya terutamanya pemain muda.

Tetapi, pokok pangkalnya adalah pemain haruslah meletakkan prestasi mereka sebagai perkara paling utama kerana itu yang menjadi penilaian jurulatih serta penyokong.

"Tengok pada jurulatih. Ada yang bersikap terbuka, tapi ada juga yang melarang. Yang paling penting, kerja di atas padang mesti dilakukan dengan baik," ujar Adney.

Adney pernah mewakili Malaysia di peringkat B-23 pada 2005 hingga 2009 serta Harimau Malaya bermula tahun 2007 sampai 2011. Gelaran tunggalnya bersama Malaysia adalah Pestabola Merdeka pada 2007. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram