[VIDEO] Bosan jadi bek, Gabriel Peres jadi bidan terjun sarung 'glove' penjaga gol


  • Podium
  • Selasa, 30 Apr 2024

Gabriel Peres merupakan watak utama dalam barisan pertahanan skuad Sang Badak sejak musim lalu. — Facebook/Sabah FC

SEBAGAI persiapan akhir menjelang musim baharu, skuad Sang Badak memilih untuk menganjurkan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan tiga kelab lain turut menyertai.

Mereka merupakan dua pasukan dari Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City dan Kuching City FC sementara satu lagi peserta ialah kelab Singapura, Hougang United FC.

Ia boleh dikatakan sebagai satu persiapan mencukupi buat Sabah FC yang semakin berkobar-kobar untuk musim akan datang selepas berada di tangga ketiga Liga Super 2023.

Peluang itu diambil skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila mereka pada Isnin berjaya menewaskan Hougang United FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Likas, Sabah.

Gol daripada Stuart Wilkin dan Saddil Ramdani memastikan keputusan cemerlang itu dapat direkodkan meskipun lawan mereka menggegarkan gol menerusi sepakan penalti Stjepen Plazonja.

BACA LAGI: Sabah FC berdepan tunggakan sebulan gaji pemain, enggan buru bintang baharu

BACA LAGI: Demi Sang Badak, fans Sabah sanggup panjat pokok di Keningau

Bagaimanapun, di sebalik perlawanan hangat itu, terjadi satu momen menarik apabila bek tengah import, Gabriel Peres ditugaskan mengawal gawang gol pada penghujung babak permainan.

Dalam satu klip dikongsikan di laman media sosial kelab, pemain berkenaan kelihatan meminjam jersi penjaga gol ketiga, Ramzi Mustakim.

Gelagatnya mencuri perhatian ramai dengan penjaga gawang utama, Khairul Fahmi Che Mat turut tersenyum melihat pemain bertubuh sasa itu cuba menepis percubaan lawan.

"Perlawanan selepas ini, Gabi (Gabriel) akan bermain," kata bekas tonggak Harimau Malaya itu disusuli sorakan buat import kelahiran Portugal berkenaan.

Punca di sebalik kemasukannya sebagai penjaga gol masih belum diketahui dengan Damien Lim berada dalam kesebelasan utama sementara dua pilihan lain turut diletakkan di bangku simpanan.

Namun, terdapat kemungkinan pemain itu beraksi dalam posisi itu adalah kerana rakan sepasukannya itu dilayangkan kad merah atau mengalami kecederaan dengan pertukaran pemain sudah tidak dapat dilakukan.

Kemenangan diraih skuad Sang Badak meletakkan mereka di tangga kedua dengan kedudukan teratas dimiliki KL City FC yang menundukkan Kuching City FC 3-1.

Perlawanan selepas ini bakal menyaksikan Sabah FC menentang skuad Warga Kota pada Rabu sementara skuad The Cats akan bertemu Hougang United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram