KEPUTUSAN ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim untuk meletakkan pemain kelahiran Korea Selatan, Seo Seo-nung sebagai penyerang dilihat amat membuahkan hasil.
Dua gol yang dijaringkannya ketika bertemu Kuching City FC memainkan peranan cukup penting untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat skuad The Bos Gaurus (TBG).
Selain tajam di hadapan pintu gol lawan, pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi cukup bersemangat untuk mendapatkan bola dan memberi tekanan kepada benteng pertahanan skuad The Cats.
"Saya berasa cukup senang selepas menjaringkan dua gol dan membantu Perak FC mendapatkan kemenangan pertama. Sasaran saya adalah untuk membantu pasukan saya berada di kedudukan lebih baik sebelum aksi persahabatan antarabangsa.
"Pihak kejurulatihan sering menyuntik semangat buat kami. Kini, saya rasa lebih yakin untuk menjaringkan gol di samping sorakan yang cukup baik daripada mereka yang hadir ke stadium," katanya.
Seo-nung, yang sebelum ini pernah beraksi buat kelab divisyen bawahan Sepanyol, Tuilla menyertai skuad TBG pada penghujung jendela perpindahan Liga Malaysia Februari lalu.
Meskipun tidak menempuhi aksi pramusim bersama rakan sepasukan, dia dilihat sudah mencipta keserasian bersama Christian Obiozor dan Hadi Fayyadh Abdul Razak di jentera serangan.
Sementara itu, Teong Kim turut berpuas hati dengan kemenangan yang dicatatkan, namun percaya bahawa pasukannya masih perlu menambah baik kemampuan mereka.
"Kami sudah bermain dengan cara yang sama dalam setiap perlawanan dengan pelbagai peluang menjaringkan gol sudah dicipta. Ketika menentang Kuching City, kami menggunakan peluang itu dengan baik.
"Saya sedang dalam proses membina sebuah pasukan yang cukup berkualiti. Kadang-kadang, kami mungkin tidak sabar dan meletakkan terlalu banyak tekanan," katanya.
Skuad TBG bakal menerima kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi kelima Liga Super yang akan berlangsung di Stadium Ipoh, Perak pada Khamis. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram