Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
LIMA minggu bergelar ketua jurulatih Selangor FC bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2024/25, Nidzam Jamil berasa seperti di awang-awangan. Jadual hariannya padat dengan kehadirannya ditagih untuk pelbagai acara – daripada latihan pasukan, program-program membabitkan kelab hinggalah kepada siri temu bual yang sudah diatur.
Kesibukan jugalah yang menghindarkan jurulatih berusia 44 tahun itu daripada rasa gemuruh menantikan perlawanan pembuka tirai menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 10 Mei – kira-kira dua minggu saja lagi.
“Tak ada rasa cemas atau kecut perut tapi rasa sedikit lain,” katanya kepada Bola Pegun. “Selama dua tiga tahun sebagai penolong jurulatih, ada orang lain yang dipertanggungjawabkan kerana saya hanya membantu.
BACA LAGI: Tukar nama jadi pasukan borak kencang,' 2 bintang karam bersama Selangor FC
Nidzam tidak berasa terlalu gentar dengan cabaran bakal dihadapinya bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
“Tapi kini sebagai ketua jurulatih, sayalah yang memimpin. Sudah tentu ada jangkaan terhadap saya dan itulah yang saya maksudkan berasa sedikit lain. Banyak benda yang berkesudahan di tangan saya sekarang tapi dengan sokongan kuat dan bantuan yang saya dapat, semuanya dapat diuruskan dengan baik,” tambahnya.
Nidzam secara rasmi pulang ke pangkuan skuad Merah Kuning itu selepas bersetuju menjadi penolong ketua jurulatih kepada Michael Feichtenbeiner pada musim 2022. Pada musim berkenaan juga, dia dilantik selaku ketua jurulatih interim untuk beberapa perlawanan terakhir dan kemudian kembali sebagai penolong ketua jurulatih bagi membantu Tan Cheng Hoe sepanjang musim lalu.
Selain pengalaman itu, Nidzam turut berterima kasih kepada pengalamannya selaku ketua jurulatih Felda United FC pada 2019 dan 2020 yang membuatnya tidak berasa terlalu gayat dalam menghadapi cabaran musim baharu kali ini.
“Bersama Felda United, dimensi tugas saya berbeza dan parameternya lebih kecil. Tapi itulah yang menyediakan saya untuk tanggungjawab selaku ketua jurulatih Selangor FC. Ini sebuah kapal besar untuk dikendalikan tapi ia bukan sangat soal tekanan tapi menangani persepsi dan memenuhi jangkaan.
BACA LAGI: Selangor enggan berputih mata, mahu segera 'palam' kontrak 3 pemain bintang
Persiapan terus dibuat skuad kendalian Nidzam dalam tempoh pramusim kali ini. — Facebook/Selangor FC
“Setakat ini saya tak rasa apa-apa sangat kerana liga belum bermula. Lima minggu dalam tugas baru ini terasa seperti singkat tapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” tambahnya.
Pada masa sama, Nidzam turut berhadapan dengan tumpuan baharu yang dihadapinya. Umpamanya satu majlis meraikan pengadil di Selangor turut menuntut kehadirannya, begitu juga aturcara membabitkan kelab.
Di luar padang latihan, ramai yang datang menyapanya, tidak terkecuali di restoran mamak untuk memberi dorongan dan mengucapkan selamat berjaya dalam tugasnya.
Menghargai kata-kata semangat yang diterimanya, jurulatih itu mengakui ia berbeza dengan komen-komen secara rambang di pelbagai platform media sosial, termasuk selepas perlawanan persahabatan dengan Perak FC di Ipoh, Sabtu lalu yang dimenangi Selangor FC 3-2.
Kemenangan ke atas Perak FC masih belum cukup diraikan penyokong. — Facebook/Selangor FC
Selangor FC yang tampil dengan corak menyerang dalam separuh masa kedua, bangkit untuk mengikat kedudukan 1-1 melalui import baharunya, Alvin Fortes, diikuti oleh gol Faisal Halim untuk pelawat berkelebihan 2-1.
Yohandry Orozco pula mencipta nama sebagai penjaring selepas meledak pada minit ke-77 hasil satu serangan balas pantas manakala gol-gol Perak diperoleh menerusi Wan Zack Haikal dan import baharu mereka, Lee Tae-min.
Tetapi, bagi rata-rata penyokong skuad Gergasi Merah itu, kemenangan berkenaan masih belum cukup untuk menentukan prestasi pasukan selepas ini.
Bagi mereka, kelemahan yang dapat disaksikan ketika berdepan skuad TBG perlu dijadikan pengajaran, lebih-lebih lagi selepas benteng pertahanan dibolosi sebanyak dua kali.
Skuad Gergasi Merah bakal berentap dalam kempen SAC sebagai penutup kempen pramusim. — Facebook/Selangor FC
“Saya hormati pandangan penyokong menerusi media sosial tapi dorongan peminat termasuk di restoran mamak juga saya hargai kerana mereka lakukannya secara berdepan tanpa berselindung,” katanya.
Pertemuan dengan Perak FC itu adalah medan ujian keempat buat Selangor FC yang terdahulu mengalahkan Samut Prakan FC 4-0 dan seri 1-1 dengan Ayutthaya United FC 1-1 – kedua-duanya dalam rangka latihan pramusim di Bangkok – di samping menang 4-0 ke atas Melaka United FC dan 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC.
“Perlawanan persahabatan seperti ini tidak terlalu menuntut prestasi terbaik tapi lebih kepada menguji gandingan pemain dan keserasian mereka,” kata Nidzam.
Seterusnya, Selangor FC akan melayani kunjungan tiga kelab Asia Tenggara -- DPMM FC dari Brunei, Balestier Khalsa FC dari Singapura dan Young Elephants FC dari Laos -- bagi saingan Piala Cabaran Asia 2024 bermula esok.
Apa yang diharapkan Nidzam daripada kejohanan empat penjuru itu? “Saya nak lihat dua aspek utama – sikap pemain dan keputusan.
“Keputusan tetap penting kerana bila kita buat ujian, kita juga perlukan keputusan positif. Dan jika difahami mentaliti Selangor FC, kelab ini sentiasa menuntut keputusan yang baik.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram