Yusri kekal fokus untuk Perak FC kejar sasaran 40 mata


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Yusri diharapkan dapat menyuntik nafas baharu dalam skuad TBG dalam kempen Liga Super 2024/25. — Facebook/Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

YUSRI Che Lah kekal seorang yang sangat fokus terhadap tanggungjawabnya. Ada kala timbul percanggahan di antara kemahuannya dan apa yang dihasratkan oleh penyokong. Tapi kesudahannya ketua jurulatih Perak FC itu menurutkan kata hatinya sendiri dalam menentukan pemilihan pemain untuk musim baharu Liga Super musim 2024/25 yang akan disingkap tirainya kurang dua minggu lagi.

Ambil contoh terbaharu kedatangan bekas pemain bawah 23 tahun Brazil, Clayton da Silveira, bagi melengkapkan pemain import kelapan skuad The Bos Gaurus (TBG) itu yang dikatakan mengingkari kehendak penyokong yang lebih cenderung kepada penyerang kelahiran Colombia, Wilmar Jordan Gil.

Lantas, ada yang mengandaikan Clayton, 28, hanya didatangkan sebagai rekrut ‘tangkap muat’ selepas ikhtiar mendapatkan Wilmar, 33, dari Punjab FC terhalang gara-gara kontraknya dengan kelab Liga Super India itu hanya akan berakhir pada 31 Mei. Tarikh tutup pendaftaran pemain Liga Malaysia ialah 15 Mei, dengan jendela perpindahan kedua hanya akan dibuka September nanti.

Enggan memanjangkan perdebatan mengenai perkara itu, Yusri menjelaskan Clayton yang ketiadaan kelab sejak 19 Apr lalu selepas kali terakhir mewakili Hercilio Luz dalam kejohanan wilayah Catarinense di Brazil, adalah keutamaannya dari awal.

BACA LAGI: TBG buru bintang import baharu ngam dengan bajet dari 4 benua, 5 import lama kekal

439689338_445471198033261_3125403334850934217_n

Clayton disambar sebagai senjata baharu skuad TBG untuk musim depan. Facebook/Perak FC

Berbanding musim lalu apabila dia mewarisi pemain-pemain selepas menggantikan ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim, yang dipecat pada 25 Mei 2023, pemilihan pemain-pemain bagi musim baharu dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Yusri dan pasukan kejurulatihannya.

“Kami berurusan dengan (ejen) Clayton dan Wilmar dalam masa sebulan lalu, kami dah bincang serentak dengan kedua-duanya. Tapi keutamaan adalah kepada Clayton,” katanya kepada Bola Pegun.

Ia harus menjadi jawapan terbaik kepada penyokong yang sebelumnya membuat perbandingan statistik Wilmar jauh lebih meyakinkan apabila penyerang bertubuh sasa itu menghasilkan lapan gol serta satu bantuan jaringan dalam 15 penampilan untuk Punjab pada musim 2023.

Clayton pula sekadar mencetak satu gol dan satu hantaran bantuan dalam 10 perlawanan dia diturunkan bersama Hercilio Luz sejak dia beraksi untuk kelab itu dari Ogos 2023 hingga April lalu.

“Ada ramai pemain yang miliki CV besar tapi prestasi sebenar di atas padang yang akan jadi ukuran. Prestasi yang akan jawab segala-galanya nanti dan saya harap Clayton – berkeupayaan selaku penyerang tengah atau di bahagian sayap -- akan dapat penuhi keperluan pasukan,” kata jurulatih itu lagi.

BACA LAGI: Ini adalah permulaan', Bobie laung amaran TBG lebih mengganas musim depan

2572865

Skuad TBG beberapa bulan dikaitkan dengan Wilmar Jordan. Facebook/Perak FC

Perak FC melanjutkan khidmat empat importnya musimnya lalu, Luciano Guaycochea, Jesper Nyholm, Sunday Afolabi dan Luka Milunovic serta menambah Luiz Henrique Motta, Adilet Kanybekov, Lee Tae-min dan Clayton kepada senarainya untuk musim baharu ini.

Ditanya sama ada itu sudah mencukupi kerana ia masih kurang satu daripada kuota sembilan pemain asing dibenarkan, Yusri berkata, ketibaan Clayton sudah mencukupkan pengisian posisi yang menjadi pertimbangan utamanya.

“Sekarang kami cukupkan posisi, bukan nak cukupkan sembilan import. Kami isi ikut keperluan saja selain kena tengok kesesuaian bajet pasukan,” jelasnya.

Bagi musim 2024/25, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan kuota baharu bagi pemain import yang membolehkan setiap kelab mendaftarkan 10 pemain import bagi kelab Malaysia yang beraksi di Asia.

“MFL mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import,” kata MFL dalam satu kenyataan.

438095481_446021887978192_2644599622578406283_n

Persiapan skuad TBG diteruskan dengan aksi persahabatan berdepan kelab dari dalam dan luar negara. Facebook/Perak FC

Ini bermaksud kelab yang beraksi di Asia boleh mendaftarkan seramai 10 pemain import dalam satu-satu masa.

“Namun, selepas menerima permintaan beberapa kelab serta mendapat persetujuan kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan,” tambah kenyataan itu.

Sepanjang pramusim, skuad TBG sudah beraksi dalam lima perlawanan persahabatan yang menyaksikan mereka mengalahkan Geylang International 3-0, Albirex Niigata 3-1, seri dengan Penang FC 0-0, tunduk kepada Selangor FC 2-3 dan disusuli pertemuannya dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC petang tadi.

Yusri mengkategorikan pengamatannya kepada tiga aspek -- kecergasan pemain yang semakin meningkat, perbezaan jaring dan bolos yang perlu lebih baik dan keadaan lambat panas yang perlu diatasi segera.

438882253_441979455049102_2204309088588672467_n

Luiz Henrique (kanan) merupakan seorang lagi import baharu yang disambar skuad TBG. Facebook/Perak FC

Keupayaan pasukan menyumbat lapan gol dalam empat perlawanan paling mengujakannya tapi dikecewakan oleh bolos empat gol dalam dua perlawanan.

“Kami lambat panas dalam beberapa perlawanan itu,” kata jurulatih itu yang menerima hakikat pemain-pemain masih menyesuaikan diri ketika pertandingan sebenar belum bermula. “Perlu juga diatasi kecuaian pada awal permainan. Selepas mendahului Albirex 1-0 dalam separuh masa pertama, kami membenarkan lawan mendapatkan gol penyamaan hanya seminit dalam separuh masa kedua.

“Lapan gol dalam empat perlawanan tunjukkan pemain-pemain saya ada keinginan untuk tepati sasaran dalam penyudahan mereka.

“Tapi kami masih perlu tingkatkan lagi penciptaan peluang. Lawan Selangor, kami ada banyak peluang dalam separuh masa pertama tapi dalam separuh masa kedua, kami kena tiga. Rekod jaring-bolos kami kena lebih baik selepas ini,” tambahnya.

439032724_442280468352334_902924775200833037_n

Penyokong Perak pasti mengharapkan satu musim lebih bermakna dicatatkan selepas ini. Facebook/Perak FC

Selepas menamatkan cabaran musim lalu di tangga ke-11 dengan 22 mata, Perak FC diletakkan sasaran untuk menghimpun 40 mata pada musim 2024/25.

Mengambil kira Liga Super bakal ditandingi 13 pasukan, kurang satu daripada musim lalu, sasaran 40 mata itu – yang menempatkan Terengganu FC di tangga keenam dengan jumlah itu musim lalu – akan lebih sukar untuk dicapai.

“Kami akan cuba dapatkan jumlah mata itu seperti ditetapkan majikan. Saya harap penyokong akan terus memberi sokongan dan mendoakan kami. Kita sama-sama berjuang untuk naikkan nama Perak FC,” kata Yusri lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram