Carlos Tevez dikejarkan ke hospital sebab sakit dada


  • Podium
  • Rabu, 24 Apr 2024

Tevez kini menjadi ketua jurulatih Independiente. — Agensi

BEKAS bintang Manchester United dan Manchester City, Carlos Tevez berada dalam keadaan stabil selepas terlebih dulu dikejarkan ke hospital kerana mengalami sakit dada pada Selasa.

Tevez telah dibawa ke sebuah hospital di kawasan San Isidro, Buenos Aires, Argentina sebelum ditahan oleh pegawai perubatan bagi menjalani rawatan susulan.

Bekas pemain berusia 40 tahun itu kini merupakan ketua jurulatih Independiente yang beraksi dalam liga utama Argentina selepas menjawat jawatan itu pada Ogos tahun lalu.

Menurut kenyataan Independiente, keadaan Tevez berada dalam keadaan yang baik dan akan menjalani rawatan susulan akibat sakit dada itu.

"Jurulatih kami (Tevez) berada di Hospital La Trinidad, San Isidro selepas mengadu mengalami kesakitan di bahagian dada.

"Pihak hospital telah menjalankan ujian rawatan dan mendapat keadaan Tevez berada dalam keadaan normal.

"Namun begitu, pihak hospital akan meneruskan beberapa siri ujian sebagai sebahagian daripada pemeriksaan am."

Independiente turut memberitahu Tevez akan kekal di hospital sebagai langkah berjaga-jaga dengan doktor berhasrat untuk menjalankan ujian lanjut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Lagi penting ilmu di kepala, berbanding warna rambut', Subramaniam tegur Harimau Muda

BACA LAGI: Tenang, ciri-ciri midfield sebenar antara kriteria dimiliki Nooa Laine bantu Selangor cabar takhta Liga Super

Untuk info, Tevez menikmati karier yang baik sebagai pemain bola sepak apabila mewakili skuad nasional Argentina dalam 76 penampilan dan berjaya meledak 13 gol.

Tevez turut dikenali di Eropah kerana mewakili kelab ternama seperti Manchester United, Manchester City dan Juventus sebelum melebarkan sayap ke Asia dengan beraksi dalam Liga China.

Bekas penyerang Argentina itu turut dinobatkan sebagai juara dalam beberapa kejohanan berprestij seperti Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Olimpik 2004. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram