[VIDEO] Gagal ulangi kejayaan skuad 2018, ada 3 faktor penting mungkin penyebab Harimau Muda tersungkur di Qatar


  • Podium
  • Khamis, 25 Apr 2024

Menjadi persoalan kenapa skuad 2018 boleh mara ke suku akhir dan pemain muda lain tidak boleh mengulangi kejayaan itu.

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menutup kempen Piala Asia B-23 2024 tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Kuwait pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub, Qatar pada awal pagi Rabu.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak buah Juan Torres Garrido berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa mengutip sebarang mata.

Rekod itu sekali lagi mengulangi sejarah edisi 2022 di Uzbekistan apabila skuad Harimau Muda gagal mencatat sebarang kemenangan dalam aksi kumpulan selepas mencipta sensasi mara ke suku akhir pada 2018 di China.

Timbul persoalan mengapa skuad pada 2018 mampu mara ke suku akhir, namun sebaliknya berlaku apabila generasi baharu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) gagal mengulangi pencapaian itu?

Suka atau tidak, Majoriti senaraikan tiga faktor perbezaan skuad Harimau Muda 2018 dan 2024:

BACA LAGI: Carlos Tevez dikejarkan ke hospital sebab sakit dada

1. Prestasi Semasa

Mungkin skuad 2018 dan 2024 tidak mempunyai banyak perbezaan daripada segi minit permainan kerana melihat profil kedua-dua pemilihan pemain diberi peluang beraksi bersama kelab masing-masing.

Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Ubaidullah Shamsul, Sikh Izhan Nazrel antara pemain yang mendapat minit permainan tinggi dalam Liga Super tetapi dilihat masih gagal memberikan sumbangan buat Harimau Muda.

Berbeza dengan skuad 2018 yang mana pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Azam Azih, Faisal Halim dan Nik Akif Syahiran telah menjadi pemain 'regular' serta berada di puncak prestasi baik untuk beraksi di Asia.

Pada tahun itu, prestasi Safawi sama seperti Arif Aiman ketika ini yang menjadi tunjang utama Harimau Selatan dan mendapat perhatian banyak pihak.

Minit permainan penting untuk pemain muda tetapi lebih mustahak jika mereka berjaya berada di puncak prestasi ketika bersama pasukan masing-masing.

2. Jurulatih Berpengalaman

Selepas aksi yang tidak memberangsangkan bersama E. Elavarasan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan untuk melantik Juan Torres Garrido sebagai ketua jurulatih Harimau Muda untuk beraksi di Piala Asia B-23 Qatar awal tahun ini.

Namun begitu, perancangan FAM seolah-olah memakan diri apabila Garrido dilihat kurang mempunyai pengalaman untuk mengendalikan pasukan kebangsaan di pentas lebih besar.

Masa yang terhad juga menghalang jurulatih Sepanyol itu untuk mengenali lebih ramai pemain-pemain muda berbakat dalam negara.

Tidak seperti Datuk Ong Kim Swee yang mempunyai banyak masa bersama Harimau Muda untuk menterjemahkan taktikal yang diterapkan olehnya.

Malah Kim Swee mempunyai banyak masa mengenali pemain yang dikehendakinya untuk beraksi mengikut taktikal yang beliau mahu.

Bekas pengendali Harimau Muda itu juga berani untuk bermain tiga pertahanan di belakang walaupun berdepan pasukan gergasi seperti Arab Saudi ataupun Korea Selatan.

BACA LAGI: Tenang, ciri-ciri midfield sebenar antara kriteria dimiliki Nooa Laine bantu Selangor cabar takhta Liga Super

3. Persiapan Harimau Muda

Skuad kendalian Garrido dilihat tidak mempunyai persiapan yang baik apabila beberapa pemain penting seperti Azam Azmi Murad dan Richard Chin mengalami kecederaan sekali gus memberikan impak negatif buat Harimau Muda.

Malah tiada kejohanan mini ataupun perlawanan persahabatan yang kompetitif membuatkan pemain-pemain kurang mendapat persefahaman dengan rakan sepasukan lain.

Tidak seperti skuad 2018 apabila mereka sudah dibentuk semasa Sukan SEA 2017 yang mana Harimau Muda ketika itu berjaya mara ke pentas akhir dan dinobatkan sebagai naib juara.

Ini secara tidak langsung memberi peluang Kim Swee untuk bereksperimen dengan skuad 2018 dan menentukan kesebelasan utama terbaik untuk dibawa ke Piala Asia B23 2018 ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram