BEKAS jurulatih skuad Bawah-16 Tahun (B-16) kebangsaan, S. Balachandran memberikan pandangan peribadinya mengenai penampilan fesyen pemain Harimau Muda yang gagal layak ke pentas suku akhir Piala Asia B-23 Qatar pada awal pagi Rabu.
Ini kerana di media sosial, penyokong mengkritik segelintir pemain yang mementingkan penampilan fesyen berbanding memperbaiki prestasi semasa sehingga gagal membantu Harimau Muda ke suku akhir Piala Asia B-23.
Begitupun tegas Balachandran, tiada aksi liga dan kurang minit permainan antara punca Harimau Muda tersungkur awal dan faktor penampilan fesyen tidak memberi kesan kepada prestasi pemain.
"Sebab liga belum mula lagi, banyak pemain tak cukup minit permainan.
"Bila dia (pemain) dah berumur dalam 23 tahun jujur terpulang kepada mereka kalau prestasi bagus benda (warna rambut) tidak kisahlah.
"Bagi saya warna rambut tiada kaitan dengan prestasi, untuk saya ini semua individu kalau dia nak rambut panjang atau botak tak apa," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Pengaruh Kim Pan-gon, baka Samba antara 3 negara pemain import paling ramai musim depan
Tambahnya, permainan Harimau Muda tidak begitu baik kerana liga masih belum berjalanan dan beliau mengganggap isu penampilan tidak penting sama sekali.
"Paling penting prestasi dalam padang iaitu semasa latihan dan terutamanya masa aksi sebenar.
"Bagi saya permainan kita masih tidak berapa 'solid' ataupun kompetitif, mungkin sebab itu pemain boleh main tetapi disebabkan tidak cukup 'match time' mereka tidak mampu bersaing," ujarnya.
Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan, S. Subramaniam mengingatkan para pemain untuk memberikan fokus bagi meningkatkan prestasi dan bukan hanya mementingkan penampilan.
Subramaniam juga menganggap fokus Harimau Muda telah tersasar dan mahu para pemain bertindak segera untuk memperbaiki apa yang sepatutnya.
"Saya ingin memberi nasihat bukan sebagai jurulatih tetapi sebagai seorang abang, daripada sibuk membuka peti surat media sosial (direct messages), lebih baik mereka fokus tingkatkan prestasi.
"Saya lihat ada pemain yang lebih fokus terhadap warna rambut berbanding apa yang ada.
"Sebagai seorang pemain, ilmu bola sepak lebih penting berbanding warna rambut," katanya dalam Astro Arena.
Skuad B-23 kebangsaan menutup kempen Piala Asia B-23 2024 tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Kuwait pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub, Qatar pada awal pagi Rabu.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan anak buah Juan Torres Garrido berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa mengutip sebarang mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram