'Ada gaya De Paula, lebih dari Bergson,' Milos Gordic mula dicanang pencabar Kasut Emas


  • Podium
  • Khamis, 25 Apr 2024

Gordic ketika meraikan jaringan golnya bertemu skuad Jang Hobin Jang pada Rabu. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA FC) akhirnya mengembalikan senyuman buat penyokong Hijau Kuning apabila berhasil menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 2-0 dalam aksi pramusim di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Kemenangan itu juga sedikit sebanyak memadam kesedihan kekalahan Kedah dalam aksi perlawanan empat penjuru Agarbomb Performance Cup 2024 bersama Penang FC dan Terengganu FC (TFC) II, yang menyaksikan TFC dinobatkan sebagai juara selepas mengutip lima mata daripada tiga perlawanan.

Aksi pemanas badan bertemu skuad Jang Hobin Jang itu menyaksikan Nafuzi Zain seolah-olah sudah menemui kesebelasan terbaiknya untuk musim ini apabila menurunkan pemain baharu seperti penyerang baharu; Milos Gordic, Habib Haroon, Sukhrob Nurulloev dan Syafiq Ahmad.

Pasukan Hijau Kuning meraih gol pertama menentang skuad kendalian Azzmi Ab Aziz menerusi penyudah menarik dari Gordic selepas mendapat hantaran bantuan dari penyerang sayap, Nurulloev pada minit ke-26.

Penyerang dari Serbia itu semakin menunjukkan keserasiannya bersama rakan sepasukan apabila sekali lagi menjadi wira buat Kedah apabila meledak gol kedua Kedah pada minit ke-62 selepas menyudahkan hantaran daripada Rizal Ghazali di bahagian kanan.

BACA LAGI: Bekas bintang JDT kini jadi 'supplier' akademi Harimau Selatan di Terengganu

BACA LAGI: Sayang masih bertaut, air mata Habib Haroon gugur dengar sorakan Ultras Terengganu

Dua gol dari Gordic itu mengembalikan keyakinan penyokong terhadapnya yang sebelum ini mengkritik kehadirannya sebagai penyerang utama kerana rekod gol lampau penyerang berusia 31 tahun itu kurang meyakinkan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan laman Transfermarkt, pemain berketinggian 1.87 meter berkenaan hanya menjaringkan 31 gol dan mencipta 10 hantaran bantuan dalam 131 penampilan sepanjang kariernya.

Selain itu, ada juga penyokong melihat bekas pemain Wuxi Wugo itu mempunyai persamaan dengan penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula yang boleh menjadi target man kerana fizikal mereka yang lasak.

"Aku kata dah Milos ini jelmaan porcher Argentina dan silap-silap lebih lagi dari Bergson. Memang tidak salah lah pak long kedai kopi itu sembang Milos ini bakal jadi penyerang terbanyak Liga Super dan pemenang Anugerah Kasut Emas," kata penyokong Kedah, Aiman Johari.

"Tengok gaya Milos ini ada gaya macam De Paula juga. Jenis penyerang target man ini. Susah nak cakap," bagi penyokong Hijau Kuning, Fazrie Ismail.

Walaupun prestasi De Paula kini semakin menurun namun penyerang kelahiran Brazil itu pernah dilabel sebagai salah seorang penyerang import terbaik tanah air terutama ketika mewakili Selangor FC.

Dalam pada itu, dua gol dalam aksi menentang NSFC bagaimanapun tidak mencukupi untuk menilai Gordic. Selepas ini, ketajaman penyudah penyerang itu akan dinilai dalam perlawanan Kedah bakal bertemu Penang FC pada 30 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram