SELANGOR FC akhirnya menamatkan penantian mereka untuk beraksi di pentas Asia apabila sudah mengesahkan kedudukan sebagai naib juara Liga Super 2023.
Meskipun masih terdapat satu perlawanan berbaki, jurang antara mereka dengan pasukan di tangga ketiga, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang besar memberikan kegembiraan awal buat skuad Gergasi Merah.
Jadi, persiapan pastinya sedang sibuk dibuat pihak pengurusan untuk memastikan pasukan dimiliki mampu bersaing dengan pasukan lebih berkualiti dari pelusuk Asia.
Perhatian pastinya diberikan kepada jentera serangan pasukan dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pastinya memasang hasrat untuk mengekalkan hampir kesemua pemain mereka.
Antara yang dilihat perlu kekal beraksi buat Selangor FC musim depan adalah penyerang import Colombia, Ayron del Valle selepas menikmati satu musim cukup cemerlang buat pasukan berkenaan.
Orozco mempunyai kualiti yang amat diperlukan Selangor FC untuk musim akan datang.
Pemain tersebut sebelum ini dilaporkan akan kembali ke negara kelahirannya dengan sebahagian penyokong berhasrat kelab itu dapat membawa masuk seorang yang lebih muda.
Namun, Selangor FC dilaporkan lebih berminat untuk mengekalkan khidmat del Valle dengan dua lagi pemain import turut berada dalam senarai, seperti mana dilaporkan wartawan tanah air, T Avineshwaran.
"Selangor sedang mengadakan proses rundingan dengan tiga tonggak import iaitu perancang dari Venezuela, Yohandry Orozco, del Valle serta pemain tengah dari Jordan, Noor al-Rawabdeh.
"Orozco sudah mencatatkan 11 gol dan 10 bantuan jaringan sementara del Valle merupakan penjaring terbanyak Liga Super dengan 23 jaringan setakat ini," tulis Avineshwaran menerusi satu hantaran di laman X.
23 gol yang dijaringkan meletakkan del Valle sebagai pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super 2023. — Facebook/Selangor FC
Ketiga-tiga pemain tersebut dibawa masuk pada awal musim lalu dengan masing-masing memainkan peranan penting dalam membantu skuad Gergasi Merah menduduki kedudukan kedua setakat ini.
Selangor FC merupakan antara pasukan Liga Super yang mengisi hampir keseluruhan sembilan kuota import ditetapkan dengan ada di antara mereka dijangka tidak akan dikekalkan.
Penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye difahamkan tidak akan ditawarkan kontrak lanjutan selepas persembahannya yang kurang konsisten menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Skuad Gergasi Merah juga difahamkan sedang dalam usaha memperkuatkan benteng pertahanan mereka dengan pemain Uzbekistan, Umar Eshmurodov mula dikaitkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram