KUALA Lumpur (KL) City FC bergelar juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin.
Perlawanan tersebut mencipta sejarah sebagai aksi pertama di peringkat domestik yang menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Namun, terdapat beberapa kontroversi yang lantang dibangkitkan peminat gara-gara penggunaan VAR musim ini.
Bercakap mengenai pengunaan VAR tersebut dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh bersetuju dengan teknologi berkenaan digunakan di Malaysia.
Meskipun begitu, dia mendedahkan bahawa setiap keputusan perlawanan bergantung kepada pengadil dan tidak seharusnya mengikut 100 peratus VAR.
"Semuanya bergantung kepada pengadil kerana dialah yang menentukan dan membuat keputusan di atas padang.
"Sekiranya pengadil sudah membuat keputusan namun tidak diperbolehkan oleh VAR, jadi pengadil kena ada pendirian untuk mengekalkan keputusan tersebut.
"Jadi, jangan kita sangka bahawa bila mana VAR call, pengadil mesti ikut VAR punya keputusan," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Tidak perlu letak jawatan, legenda desak FAM tangani masalah dihadapi Juan Torres Garrido
Brendan Gan (kanan) menjadi pemain pertama kepada VAR apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-79. — Facebook/MFL
BACA LAGI: Demi Sang Badak, fans Sabah sanggup panjat pokok di Keningau
Dalam aksi tersebut, penggunaan VAR buat kali pertama membabitkan aksi kompetitif kedua-dua pasukan berkenaan menyaksikan pemain tengah The City Boys, Brendan Gan menjadi ‘mangsa’ kepada teknologi berkenaan apabila dilayangkan kad merah.
Brendan dilayangkan kad merah pada minit ke-79 selepas pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin melakukan semakan berulang apabila pemain tersebut didakwa melakukan kekasaran terhadap lawan.
Ditanya mengenai layangan kad merah kepada bekas pemain Selangor FC itu, Subkhiddin berkata, pastinya pengadil perlawanan lebih mengetahui mengenai situasi tersebut.
"Dalam aksi tersebut, pastinya pengadil berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh VAR then dia follow VAR.
"Namun, sekiranya dia tidak bersetuju dengan satu sudut pandangan tersebut, dia boleh menukar keputusan berkenaan," katanya.
Tambahnya lagi, pengadil perlawanan mempunyai pertimbangan untuk menentukan keputusan sendiri meskipun terdapat insiden layangan kad kuning atau kad merah di atas padang.
"Ada sesetengah pengadil tahu VAR ada buat kesilapan, jadi dia tak nak ubah. Sebab tu dalam bola sepak apabila kita gunakan VAR, setiap keputusan mesti datang daripada pertimbangan.
"Jadi, itu semua pertimbanganlah. Pengadil mestilah berusaha untuk mengawal permainan dengan baik.
"Bagaimanapun, tidak dinafikan VAR dapat membantu dengan memberikan maklumat terperinci kepada pengadil supaya mendapat keputusan yang baik," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram