KATA orang, bola sepak merupakan sukan rakyat dan seharusnya boleh dimainkan oleh semua tanpa mengira gender. Namun begitu, sukan ini lazim dikaitkan dengan kaum lelaki sahaja.
Seiring masa, bola sepak semakin terbuka pintunya buat kaum wanita. Namun begitu, ia berbeza ceritanya di Malaysia apabila sukan ini masih lagi asing dengan gender tersebut.
Pada masa sama, ada sesetengah pendapat yang melihat bola sepak sebagai sukan yang ganas. Perbuatan membentes pemain lawan sebagai contoh merupakan salah satu pergerakan yang dianggap bahaya dalam sukan ini.
Perkara itu membuatkan kaum wanita semakin menjauh dengan bola sepak. Untuk mengatasi situasi itu, maka wujudlah bola sepak rekreasi atau recreational football.
Diasaskan oleh aktivis sukan, Khalilul Rahman, bola sepak rekreasi menggabungkan dua elemen iaitu bola sepak campuran (mixed football) serta no tackle rule.
Elemen-elemen tersebut dibuat bertujuan untuk mewujudkan suasana bola sepak yang selamat dan boleh dinikmati oleh sesiapa saja tak kira gender dalam suasana yang santai.
BACA LAGI: Rakus belasah PDRM, Safawi Rasid optimis TFC tunggu masa untuk lengkap sepenuhnya
Khalilul begitu komited untuk membolehkan bola sepak dinikmati oleh semua. — Instagram/@brotherkhal
"Bola sepak rekreasi kami mempunyai no tackle rule yang bermakna tiada bentesan boleh dibuat apabila pemain mempunyai bola untuk mengelakkan cabaran 50/50 dan memastikan semua orang selamat.
"Bola sepak campuran bertujuan untuk memberi semua orang, termasuk lelaki, wanita, kaki bangku, mereka yang kembali daripada kecederaan dan sebagainya peluang untuk bermain bola sepak dalam suasana santai," ujar Khalilul kepada Majoriti.
Bola sepak campuran merupakan format menyaksikan 22 pemain di atas padang terdiri daripada kaum lelaki dan wanita dengan bilangan yang seimbang dalam kedua-dua pasukan.
Sementara no tackle rule pula adalah peraturan tidak membenarkan sebarang bentesan dilakukan. Jika hendak merampas bola, ia cuma boleh dibuat menerusi pintasan sahaja.
BACA LAGI: Sebelum kelab lain rasa, Kelantan dah hadap hukuman 'transfer ban' Liga Malaysia
Bola sepak rekreasi membuka ruang untuk lebih ramai kaum wanita turun beraksi. — Agensi
Menurut Khalilul atau lebih mesra dipanggil Khal, usaha ini telah dilakukan sejak 2018 selepas melihat seorang pemain mengalami kecederaan serius ketika satu perlawanan bola sepak sosial.
Sejak dari itu, peraturan no tackle rule itu menjadi perkara wajib dipatuhi oleh setiap pemain yang menyertai sesi bola sepak rekreasi anjuran Khal.
Khal menanggap sukan sebagai salah satu cara untuk keluar daripada pelbagai permasalahan terutamanya berkenaan kesihatan mental.
Menyedari ramai di luar sana mengalami isu kesihatan mental, ia sudah cukup untuk membuatkan penyokong tegar Arsenal berusia 32 tahun itu komited menganjurkan sesi bola sepak rekreasi setiap minggu.
"Saya komited untuk melaksanakan kedua-dua mixed football dan no tackle rule kerana saya percaya semua orang berhak mendapat peluang untuk bermain bola sepak dalam persekitaran yang selamat.
"Saya mahu melihat pemain kami keluar dari sesi bola sepak rekreasi dengan keadaan mental dan emosi yang lebih baik sebelum mereka mula masuk ke padang," ulas Khal.
Selain bola sepak campuran, Khal turut mengadakan sesi futsal campuran di sekitar Lembah Klang. — Agensi
Usaha murni yang cuba dilakukan Khal ini tidak lari daripada rintangan dan cabaran. Sepanjang mengendalikan sesi bola sepak rekreasi, Khal turut berdepan mereka yang meragui keperluan no tackle rule.
Menurut Khal, keraguan itu hadir kerana mereka tidak memahami keperluan peraturan tersebut.
"Sambutan orang ramai secara umumnya positif, walaupun terdapat sedikit keraguan, terutamanya mengenai no tackle rule.
"Bagaimanapun, ramai yang ragu-ragu memahami kepentingannya sebaik sahaja mereka mula bermain dan melihat sosial yang dibawanya," terang Khal.
Khal amat berharap di masa depan, usahanya akan dapat diluaskan dengan lebih ramai dapat menikmati manfaat daripada bola sepak sosial anjurannya.
Dia bercadang di masa akan datang untuk mengadakan lebih banyak sesi supaya lebih ramai kaum wanita, kaki bangku atau sesiapa saja boleh menyertainya di seluruh negara. Buat masa sekarang, sesi anjurannya hanya diadakan di Lembah Klang.
"Saya berharap untuk memperluaskan program untuk mengadakan 100 sesi sebulan di seluruh Malaysia," jawab Khal mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram