AFL perkenal kuota pemain import, gaji terhad RM15,000 sahaja — Yusoff Mahadi


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Yusoff Mahadi mengatakan gaji pemain import di saingan AFL terhad kepada RM15,000 sahaja. — Agensi

BADAN penganjur liga bawahan Malaysia, Amateur Football League (AFL) tetap dengan ketentuan mereka untuk memperkenal penggunaan pemain import bagi musim 2024/2025.

Menurut Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, keputusan itu kekal dengan beberapa syarat diletakkan kepada semua kelab Liga A1 yang ingin mendapatkan khidmat pemain import.

Antaranya adalah semua kelab terhad kepada kuota dua pemain import semusim. Selain itu, kesemua pemain import yang diambil tertakluk kepada gaji siling sebanyak RM15,000 seorang dengan syarat ketat oleh AFL.

Selain itu, AFL turut menetapkan had umur pemain import yang boleh diambil adalah sehingga 21 tahun. Keputusan itu dibuat bagi memastikan saingan bawahan negara tidak dipenuhi pemain import yang dianggap "lanjut usia".

"Penetapan AFL untuk kelab mengambil pemain import tidak lebih 21 tahun adalah untuk membolehkan pemain tempatan bersaing kerana rata-rata mereka yang beraksi di liga ini adalah pemain muda.

"Dengan adanya gaji siling serta had umur untuk pemain import, ia memastikan kelab tidak mengambil pemain berusia 29, 30 tahun yang jauh lebih tinggi kosnya," kata Yusoff.

BACA LAGI: Jimat kos dan lawan berkualiti termasuk sebab kenapa Sri Pahang, Perak jadikan kelab Singapura sebagai 'sparring' pramusim

photo_2024-04-18_17-27-49

Liga M3 kini bertukar nama kepada Liga A1 Semi-Pro.

BACA LAGI: Anak buah Tan Cheng Hoe antara 3 kelab boleh uji persiapan Gergasi Merah

Yusoff berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Pelancaran Logo Baharu Pertandingan Anjuran AFL yang diadakan di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selangor.

Pengerusi AFL itu turut menyatakan yang kelab yang mengambil pemain import mesti mempunyai deposit pembayaran gaji selama enam bulan.

Ia bertujuan untuk memastikan sekiranya kelab mengalami masalah untuk membayar gaji, ia tidak terlalu teruk hinggakan tunggakan menjadi lebih daripada tiga bulan.

Musim 2024/2025 menyaksikan saingan Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 bertukar nama menjadi Liga A1 Semi-Pro, Liga A2 Amateur dan Liga A3 Community. Akan tetapi, saingan Liga A1 Semi-Pro akan kekal dikenali sebagai MBSB Bank Championship atas faktor penajaan.

Untuk rekod, saingan Liga A1 Semi-Pro itu akan disertai oleh 16 kelab dengan sepak mula dijadualkan pada 1 Jun 2024.

Melihat kepada peningkatan minat dalam kalangan penyokong terhadap saingan bawahan negara, Yusoff mengatakan AFL dalam proses pembincangan untuk mendapatkan rakan penyiar bagi aksi liga terutamanya Liga A1 Semi-Pro.

Pada musim lalu, saingan tersebut disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi AFL di Facebook dengan purata tiga aksi disiarkan setiap hari perlawanan (matchday).

"Buat masa sekarang, kami ada berbincang dengan beberapa pihak untuk potensi menjadi rakan penyiar. Kami bercadang untuk mempunyai satu stesyen yang menjadi penyiar rasmi kami.

"Akan tetapi, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan kerana ia melibatkan jumlah belanja yang besar," kata Yusoff. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram