SELEPAS beberapa bulan menunggu, penyokong bola sepak tanah air akhirnya boleh tersenyum semula apabila saingan Liga Super 2024/25 akan membuka tirainya tidak lama lagi.
Kemeriahan pasti dinanti-nantikan dengan kemampuan pasukan kegemaran masing-masing bakal disaksikan selepas persiapan rapi dibuat.
Kemasukan muka-muka baharu sudah tentu menjadi tumpuan kerana kesesuaian mereka akan menjadi penentu di sebalik kejayaan sepanjang musim.
Melihat kepada kesemua kelab bertanding, pemain baharu yang terpilih sememangnya mempunyai kualiti tersendiri dalam menutup kelemahan sepanjang 2023.
Bagaimanapun, ada di antara mereka yang dibawa masuk meskipun mereka bukanlah sasaran utama pihak pengurusan pada jendela perpindahan kali ini.
Walaupun beberapa bulan dikaitkan, kegagalan untuk menemui kata putus antara kelab dan pemain menyaksikan khabar angin kekal tanpa jawapan.
Selain faktor gaji, ada juga persetujuan yang tidak dapat dimeterai atas faktor kegagalan pihak pengurusan dalam membuktikan visi dan objektif kelab masing-masing.
Jika diimbau kepada jendela perpindahan sepanjang hampir lima bulan, terdapat tiga ura-ura yang kerap menghiasi dada akhbar, namun tidak terjawab pada akhirnya.
1. Brendan Gan ke Pahang
Selepas empat musim menjadi watak utama Selangor FC, Brendan Gan membuat kejutan apabila meninggalkan kelab tersebut lebih awal daripada pembukaan jendela perpindahan.
Keputusan berkenaan menimbulkan persoalan kerana pemain kebangsaan terbabit menjadi watak utama dalam membawa pasukan Lembah Klang itu ke pentas Asia.
Jadi, dengan kualiti dimilikinya masih sukar dipersoalkan, dia kemudiannya diburu beberapa kelab Liga Super yang amat teruja akan kebolehannya.
BACA LAGI: Tanpa Brendan Gan, Selangor beri bayangan kapten Gergasi Merah baharu
Brendan Gan kini sudah sah milik skuad Warga Kota. — Facebook/KL City
Salah sebuah pasukan yang dikaitkan dengan pemain berusia 36 tahun tersebut ialah Sri Pahang FC yang amat memerlukan seorang pemain tengah.
Khabar angin itu turut disahkan pihak pengurusan skuad Tok Gajah yang mengesahkan rundingan kedua-dua pihak berada di tahap terakhir untuk beberapa bulan.
Bagaimanapun, kegagalan untuk mencapai persetujuan mengenai isu gaji menyaksikan perpindahan itu gagal dimeterai dengan Brendan Gan akhirnya memilih untuk ke Kuala Lumpur (KL) City FC.
Jadi, selepas gagal mendapatkan bekas kapten Selangor FC itu, Sri Pahang FC memilih untuk mengetengahkan pemain sedia ada untuk diturunkan musim depan.
2. Adam Nor Azlin ke Perak
Sepanjang jendela perpindahan kali ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil keputusan melepaskan beberapa pemain dengan status pinjaman atau secara kekal.
Salah seorang yang ditunjukkan jalan keluar ialah bek tengah, Adam Nor Azlin yang lebih kerap beraksi buat skuad simpanan sepanjang musim lalu.
Meskipun kurang meraih minit permainan bersama pasukan senior, khidmatnya masih ditagih beberapa kelab tempatan, termasuk Perak FC.
BACA LAGI: [VIDEO] Pengalaman 10 tahun Brendan Gan jadi aset berharga KL City FC
Adam memilih untuk menyertai skuad Tok Gajah berbanding skuad TBG. — Facebook/Sri Pahang FC
Mereka yang bergelut dari segi pertahanan sememangnya memerlukan seseorang yang berpengalaman seperti bekas pemain kebangsaan itu untuk menyekat serangan lawan.
Tetapi, harapan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk menyaksikannya menyarung jersi pasukan tersebut tidak kesampaian meskipun sudah berbulan-bulan dikaitkan.
Adam kemudiannya memilih untuk berhijrah ke Sri Pahang FC dengan peluang berganding bersama beberapa bekas pemain JDT sementara Perak FC mengambil inisiatif membawa masuk bek import, Luiz Henrique.
3. Khuzaimi Piee ke Penang
Dalam misi mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan, Penang FC mengambil keputusan membawa masuk bek import, Richmond Ankrah dari Selangor FC.
Kehadirannya membawa keterujaan buat penyokong pasukan itu dengan kualiti dimilikinya sudah dapat disaksikan dalam kempen pramusim.
Bagaimanapun, umum mengetahui bahawa pertahanan tersebut bukanlah sasaran utama skuad Harimau Kumbang kerana mereka lebih berminat dengan rakan sepasukannya, iaitu Khuzaimi Piee.
Khuzaimi memilih untuk kekal bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Pemain kebangsaan yang sering disisihkan di kelabnya itu boleh dikatakan sebagai komponen akhir buat kelab Utara tanah air itu kerana boleh diturunkan sebagai bek tengah atau bek kiri.
Tetapi, perpindahan berkenaan gagal dimeterai, sekali gus menyaksikan pengendali pasukan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli terpaksa membawa masuk Richmond.
Khuzaimi sebaliknya pasti mengharapkan jurulatih baharunya, Nidzam Jamil dapat memberikannya peluang lebih kerap, baik di pentas domestik mahupun Asia selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram