Lantik jurulatih baharu, Khairul Helmi dan Syed Sobri tanya mana gaji?


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Dua pemain Kelantan mendakwa bekas majikan mereka masih belum menunaikan tunggakan gaji.

TRW KELANTAN FC memberikan sedikit khabar gembira buat penyokong pasukan itu apabila mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Perlis FA iaitu Manja Man sebagai pengendali baharu The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi saingan Liga M3 atau kini dikenali sebagai A1 Liga Semi Pro 2024 yang akan berlangsung pada 1 Jun nanti.

Manja Man yang merupakan bekas pemain pertahanan Perlis dan Kedah pada era 80 dan 90-an, sememangnya diketahui seorang yang cukup sinonim dan mahir bekerjasama dengan pemain-pemain muda.

Pelantikan itu memberikan gambaran jelas bahawa TRW musim ini akan dipenuhi dengan pemain-pemain muda kelahiran Kelantan bagi memenuhi objektif pihak pengurusan layak ke Liga Super musim 2025/26.

Menurut Manja Man dalam satu kenyataan di media rasmi TRW Kelantan, beliau mahu membawa pasukan baharunya itu ke Liga Super pada musim depan.

"Pemain Kelantan mempunyai semangat berlawan yang kuat, saya nak kembalikan pemain Kelantan di tempat sepatutnya.

"InshaALLAH kita pulihkan pasukan dahulu di A1 AFL Liga Semi Pro sebelum berjuang Semula di Liga Super 2025-2026," katanya.

BACA LAGI: Tanpa Brendan Gan, Selangor beri bayangan kapten Gergasi Merah baharu

Manja Man

Rekod kejurulatihan Manja Man sebelum menyertai Kelantan. — Facebook/TRW Kelantan FC

Dalam khabar gembira pasukan Kelantan melantik Manja Man sebagai jurulatih baharu itu, masih terdapat isu tunggakan gaji yang didakwa belum diselesaikan oleh pihak pengurusan TRW.

Ini kerana dua bekas pemain Kelantan, Khairul Helmi Johari dan Syed Sobri Syed Mohamad mendakwa mereka masih belum mendapat tunggakan gaji selama tujuh bulan.

Perkara itu didedahkan oleh dua pemain terbabit dalam ruangan komen Instagram milik TRW Kelantan dengan mendakwa tujuh bulan tiada hala tuju.

"Khairul Helmi, gaji aku gaji hang mana? Coach dah baharu.

"Siap ada hala tuju dah, kita dah tujuh bulan tak ada hala tuju. TRW Kelantan FC jawab!," ujar Syed Sobri.

Manakala Khairul Helmi hanya membalas dengan gelak tawa apabila Kelantan mengumumkan pelantikan Manja Man sebagai jurulatih baharu TRW.

BACA LAGI: 'One to watch', 3 import kelab 'underdog' termasuk Penang dan Kelantan yang boleh gegar Liga Super

Tunggakan Gaji

Tangkap layar komen Khairul Helmi dan Syed Sobri dalam Instagram.

Sebelum ini, Khairul Helmi mendedahkan tidak semua pemain mendapat RM1,000 daripada pemilik pasukan, Norizam Tukiman sebagai wang pendahuluan bagi melunaskan tunggakan gaji tiga bulan secara beransur-ansur.

Berkongsi perkembangan itu menerusi akaun Facebooknya, bekas pertahanan Kedah itu mendakwa hanya 20 pemain menerima wang terbabit dan lebih menyedihkan, ia diagihkan dengan konsep 'siapa cepat dia dapat.'

"Itu pun 20 orang sahaja dapat, siapa cepat pula itu, kena bersyukur pula itu, saya tak dapat pun," katanya.

Nampaknya kemelut isu tunggakan gaji masih lagi belum selesai dan pihak pengurusan Kelantan dibenarkan untuk beraksi dalam arena profesional bola sepak negara.

Menjadi persoalan, apakah tindakan tegas yang akan diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Amatuer Football League (AFL) untuk menyelesaikan masalah yang berlaku ini? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram