Bukan masa sesuai ganti KJ sebagai Presiden FAM — Pekan Ramli


  • Podium
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Khairy disebut-sebut menjadi calon baharu untuk mengisi jawatan Presiden FAM pada tahun depan.

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau KJ kini dikaitkan dengan jawatan nombor satu bola sepak negara selepas pemilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan diadakan pada tahun depan.

Laporan Harian Metro pada 17 April mendakwa terdapat khabar angin yang mengaitkan Khairy dengan jawatan presiden selepas timbulnya isu surat layang yang mendakwa wujudnya salah laku dalam pengurusan FAM.

Kehadiran Khairy dalam FAM pastinya menimbulkan pelbagai reaksi penyokong bola sepak yang dahagakan perubahan dalam pengurusan badan induk itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan keputusan untuk menggantikan Presiden FAM ketika ini ialah keputusan yang tidak tepat.

Jelas beliau, pihak pengurusan badan induk itu perlu berganding bahu di belakang Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk memulihkan imej FAM berbanding mencari pengganti presiden baharu.

"Secara peribadi saya bukan tidak bersetuju, tetapi saya nampak keadaan FAM masih lagi dalam kemelut surat layang.

"Saya tidak berpihak dengan mana-mana pihak, tetapi saya rasa keadaan tidak sesuai waktu ini seolah-olah ada kempen awal yang sudah dibuat.

"Sedangkan isu dalaman FAM masih belum diselesaikan, sepatutnya majlis yang ada dalam FAM memikirkan bagaimana hendak bersihkan imej FAM daripada isu penyalahgunaan kuasa, rasuah, pentadbiran dan sebagainya.

"Ini tiba-tiba ada laporan menyatakan KJ akan menggantikan jawatan Presiden FAM seolah-olah perkara ini menyekat pemikiran ahli majlis dan ahli gabungan FAM untuk melihat hala tujunya tertumpu kepada KJ," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Kelebihan 2-1, Safuwan lebih layak galas tugas kapten Gergasi Merah berbanding Faisal Halim

Pekan Ramli

Pekan berpendapat bukan masa yang sesuai untuk menggantikan Presiden FAM ketika ini.

Untuk info, Khairy pada tahun lalu dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Penasihat Belia Johor.

Tambahnya lagi, Pekan turut berpendapat, jawatan yang disandang Khairy (Ahli Lembaga Pengarah JDT) dirasakan boleh menimbulkan 'conflict of interest' jika ahli politik itu dilantik menjadi Presiden FAM.

Beliau juga berasakan Presiden FAM memerlukan calon yang tidak boleh dipengaruhi mana-mana individu supaya tidak mengganggu proses transformasi bola sepak negara.

"Kita tidak mahu pemimpin FAM nanti ada 'conflict of interest' dengan mana-mana pihak kerana calon jawatan itu seharusnya individu yang disegani dan tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Jika bercakap tentang KJ, kita tak nak pemimpin itu mengikut kehendak-kehendak pihak tertentu yang mana sudah pasti ia tidak banyak membantu FAM dari segi transformasi.

"Kita juga tidak mahu jika suatu hari nanti Presiden FAM banyak terlibat dengan hal-hal politik yang boleh mengganggu perjalanan transformasi bola sepak negara," jelasnya.

BACA LAGI: Tidak setimpal, fans kurang setuju gaji import cecah RM15,000 untuk Liga M3

Presiden FAM

Hamidin berjaya mempertahankan jawatan selaku Presiden selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan ke-57 FAM 2021 lalu. Facebook/FAM

Sebelum menyertai empayar JDT, Khairy pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden FAM pada 2007 hingga 2010 sebelum menyertai arena politik.

Khairy juga bertanggungjawab melahirkan bakat-bakat muda seperti Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haikal dan Sikh Izhan Nazrel kerana mewujudkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Adakah anda sebagai pembaca berpendapat Khairy antara calon paling sesuai untuk meneruskan legasi Hamidin di kerusi nombor satu dalam Wisma FAM, Petaling Jaya? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram