TEKA-TEKI mengenai masa depan pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan akhirnya terjawab apabila dia diumumkan sebagai rekrut baharu Kuala Lumpur (KL) City FC.
Dia yang sebelum ini dikaitkan dengan Sri Pahang FC memilih untuk kekal di Lembah Klang dan menyertai seteru kelab lamanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berkata, kehadiran Brendan bukan sekadar untuk meningkatkan prestasi mereka di atas padang.
"Brendan adalah seorang profesional yang terbaik, kami membeli pemain serta jenama, bersama dengan profesionalisme yang dibawanya kepada pasukan.
“Dia adalah pemain yang dihormati dalam industri bola sepak kerana sudah tampil cemerlang bersama skuad kebangsaan dan kelab terdahulunya," katanya.
Brendan, yang sudah bermain di Malaysia selama lebih 10 tahun akan menjadi aset berharga kepada pasukan kendalian Miroslav Kuljanac.
“Ini adalah satu tandatangan kontrak yang besar untuk Kuala Lumpur. Saya rasa Brendan akan sebati dengan baik dalam skuad.
“Kami mempunyai ramai pemain yang berkualiti dengan persekitaran yang baik, itulah yang kami lakukan dalam tiga tahun lalu.
“Saya percaya kehadiran Brendan akan membantu pasukan dan itu sangat diperlukan apabila anda mengejar konsistensi,” kata Stanley.
BACA LAGI: Brendan Gan buat U-turn, kembali ke Lembah Klang?
BACA LAGI: Saya kecewa, Selangor tidak beri peluang untuk berbincang — Brendan Gan
Sebelum berita mengenai perpindahannya bersama The City Boys tular di media sosial, Brendan sempat berkongsi pesanan ikhlas kepada bekas kelabnya Selangor, menyatakan bahawa dia ingin kekal bersama Gergasi Merah tetapi tidak diberi peluang untuk berbuat demikian.
"Pada penghujung musim, saya berharap mempunyai peluang untuk membincangkan masa depan saya di Selangor dan meneruskan kejayaan ke 2024.
"Malangnya, pengurusan Selangor tidak memberikan saya peluang untuk berbincang atau berunding agar kekal di kelab itu.
"Terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya selama ini, anda telah menjadi saudara dan saya doakan yang terbaik untuk masa depan anda.
"Satu penghormatan buat saya mengetuai pasukan dan kelab di dalam dan luar padang serta melakukannya dengan penuh tanggungjawab.
"Terima kasih juga kepada semua penyokong The Red Giant yang setia, anda memang hebat sepanjang saya di kelab dan saya harap anda sentiasa kekal positif dalam masa kesukaran dan kejayaan untuk membantu pasukan sebagai 'pemain ke-12' mereka," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram