ISU tunggakan gaji dialami Kelantan FC bukanlah sesuatu yang asing kerana ia sudah diketahui rata-rata peminat setia bola sepak tempatan.
Kemelut yang menyaksikan mereka gagal menempah tiket ke Liga Super 2024/25 itu sememangnya cukup menyedihkan kerana kebajikan pemain dan staf kelab terabai untuk beberapa bulan lamanya.
Malah, harapan untuk mereka terus kekal relevan musim depan seakan-akan kian sukar kerana terdapat kemungkinan pasukan Pantai Timur berkenaan akan dihalang daripada menyertai Liga A1 Semi Pro.
Keadaan semasa Kelantan FC pastinya melukakan hati penyokong yang enggan menelan realiti di sebalik sisi gelap terus melanda pihak pengurusan.
BACA LAGI: Keputusan anak jati Kelantan untuk kekal bersama TRW ubati hati penyokong
Masalah sama pernah dialami ketika Bibi Ramjani menguruskan Kelantan. — Stadium Astro
Pemilik kelab, Norizam Tukiman sudah tentu menjadi sasaran kerana penyokong tidak berpuas hati dengan cara pengurusan diterapkan sehingga menyaksikan mereka berada dalam kemelut yang kronik.
Bagaimanapun, isu tunggakan gaji dialami skuad The Red Warriors (TRW) bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah melanda ketika berada di bawah pengurusan Bibi Ramjani Ilias Khan.
Situasi yang berlaku pada 2018 itu mendesak rata-rata tonggak kelab meninggalkan pasukan itu untuk mendapatkan sumber pendapatan lebih kukuh.
Ia turut menyaksikan dua legenda Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan Badhri Radzi dengan alasan tidak berada dalam perancangan bekas jurulatih, Fajer Ibrahim.
BACA LAGI: Tewas 8 kali dalam 10 game, fans Kelantan buat analisis posisi paling kritikal TRW
Badhri (kiri) dan Khairul Fahmi dilepaskan Kelantan secara mengejut.
Tindakan demikian sememangnya merobek hati rata-rata penyokong kerana kedua-dua pemain terbabit merupakan watak utama ketika kelab itu meraih gelaran treble domestik enam tahun sebelumnya.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai Melaka United sementara Badhri yang merupakan kapten mengubah angin ke Perlis.
Tidak lama selepas itu, Kelantan FC diambil alih Norizam dengan sinar awal diberikan dengan perancangan rapi serta tiada aduan dibuat pemain.
Namun, episod menenangkan tersebut tidak berkekalan apabila pada 2023, mereka sekali lagi dibadai isu sama, sekali gus mencalarkan lagi imej kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram