Elak isu pelapis atlet timbul, Hannah minta semua MB teliti semula portfolio sukan


  • Podium
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Acara terjun 10m platform wanita digugurkan pada Sukma 2024 berikutan kurang penyertaan. — Gambar hiasan/ Agensi

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyeru agar semua kerajaan negeri tidak menganaktirikan portfolio sukan dan memberi komitmen untuk melabur dalam industri berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa jika sokongan tidak diberikan oleh kerajaan negeri, sukar untuk menyelesaikan isu kekurangan pelapis dalam setiap sukan kerana kekurangan penyertaan dari peringkat akar umbi.

"Pembangunan sukan melibatkan komitmen kerajaan negeri. Kalau kita lihat dalam Sukma (Sukan Malaysia), kalau negeri tidak melabur dan membuat penyertaan atlet. Acara akan dibuang dalam Sukma. Saya minta semua menteri besar negeri-negeri lihat bagi portfolio sukan.

"Kalau negeri itu tak melabur, kita akan kekurangan atlet, tak cukup penyertaan. Itu sebab untuk satu-satu sukan berjaya, bukan hanya sahaja MSN bila mereka dah masuk atlet podium dan elit tetapi peringkat akar umbi peringkat negeri sangat penting.

"Sebab itu semua menteri besar dalam rancangan untuk bajet, jangan kita anaktirikan.

"Kalau ada negeri-negeri kecil bajet tak sampai RM500,000, bagaimana nak buat pembangunan atlet dan sukan jika tak melabur untuk industri sukan," katanya selepas sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Menara KBS, Putrajaya pada Jumaat.

BACA LAGI: Penyedia latihan perlu berdaftar antara kriteria pelepasan cukai latihan sukan

WhatsApp Image 2024-04-19 at 13.56.34

Hannah (dua dari kanan) ketika mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Menara KBS, Putrajaya pada Jumaat.

BACA LAGI: Ketandusan pelapis terjun makin kronik, kontinjen negeri tolak kaedah 'pinjam' atlet punca acara Sukma digugur

Hannah mengulas demikian selepas acara futsal wanita dan terjun 10 meter (m) platform wanita digugurkan daripada Sukma ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini berkata, kedua-dua acara tersebut terpaksa digugurkan kerana kurang jumlah penyertaan.

Sebelum ini juga Majoriti mendedahkan beberapa isu berkaitan kem terjun negara yang kini berdepan masalah ketandusan atlet pelapis, antaranya kerana kurangnya tumpuan Majlis Sukan Negeri terhadap acara berkenaan, walaupun di peringkat kejohanan global sukan ini telah menyumbang hampir 150 pingat.

Selain itu, Pegawai Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas turut memaklumkan kepada Majoriti mengenai pengenalan sistem pemarkahan melibatkan atlet senior dan pelapis sebagai langkah untuk membolehkan muka baharu dipilih mewakili negara berdasarkan pencapaian prestasi semasa.

Mengulas lanjut, Hannah mendedahkan bahawa beberapa negeri tidak dapat menerima bantuan untuk membangunkan kemudahan sukan kerana bimbang perlu menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

"Contoh apabila kita mencadangkan untuk menambah baik kolam renang tetapi negeri tak nak kerana susah nak menyelenggara, mereka akan promote sukan yang senang dijaga.

"Seperti geran naik padang untuk liga tapi ada beberapa negeri tak nak sebab masa tak sesuai tetapi saya lihat negeri kena proaktif.

"Ada program skrin besar. Kami minta negeri buat buat skrin besar sebab ini program sukan tetapi ada yang tak nak. Siap ada yang ada negeri minta KBS bagi duit untuk buat program," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram