Berjaya pikat hati Kim Swee, Haris Stamboulidis sah import terakhir Sabah FC


  • Podium
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Park Tae-su (dua kiri) antara tonggak Sabah FC yang dijangka akan membantu Sang Badak untuk mengekalkan kedudukan tiga terbaik Liga Super. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC mengesahkan menandatangani kontrak pemain import terbaharunya, Haris Stamboulidis bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2024/2025 yang dijangka bermula Mei depan.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihak pengurusan Sabah FC setakat ini berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan Stamboulidis sekali gus mempunyai ciri-ciri pemain yang diperlukan bagi memperkukuhkan pasukan kelak.

Katanya, The Rhinos kini masih mempunyai satu slot lagi pemain import namun akan diisi sekiranya pihak pengurusan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Kita akan bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan pihak pengurusan Sabah FC, jika mengizinkan kita akan menilai pemain import yang berkualiti untuk mengisi slot kekosongan berkenaan.

“Memang terdapat keperluan untuk menambah slot kekosongan pemain import tersebut, namun faktor kewangan juga perlu diambil kira sebelum memutuskannya,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook, Sabah FC.

BACA LAGI: Pengendali Harimau Muda ada ramuan baharu atasi Vietnam

WhatsApp Image 2024-04-19 at 12.45.02 (1)

Stamboulidis sah menyertai skuad Sang Badak bagi mengisi kekosongan import. — Facebook/Sabah FC

BACA LAGI: Mungkin dia adalah pemain terakhir kami — Kim Swee

Ketika ditanya mengenai status Dainel Ting, Kim Swee berkata, Daniel kini masih lagi secara rasmi bersama Sabah FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Kita semua tahu Daniel Ting masih lagi bersama pasukan JDT, jadi Sabah FC akan terus meminjamnya sehingga akhir musim ini.

“Secara keseluruhannya, Sabah FC berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Daniel Ting sepanjang musim lalu bersama pasukan,” jelas Kim Swee.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata, Sabah FC akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bermula 23 April ini di daerah Keningau.

“Sabah FC juga mengadakan team building di Keningau termasuk akan meneruskan beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk di Sandakan dan Tawau.

“Ini merupakan satu agenda utama Sabah FC bagi mengeratkan lagi hubungan antara pemain serta pegawai termasuk menghargai sokongan penyokong setia Sabah FC,” kata Kim Swee.

Menurutnya, Sabah FC juga akan terlibat dengan kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) dijangka akan bermula pada 29 April sehingga 5 Mei depan.

“Sabah FC nanti akan bermain dengan tiga pasukan termasuk satu slot perlawanan akhir pada Piala SMJ nanti.

“Jadi dengan persiapan ini saya percaya kita berada pada landasan yang cukup baik untuk memulakan kempen untuk liga yang akan bermula menjelang pertengahan Mei depan,” jelas Kim Swee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram