PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini dalam fasa akhir persiapan bagi pelaksanaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, pelbagai fasa latihan sudah dijalankan untuk penggunaan teknologi berkenaan yang akan dilaksanakan ketika saingan liga bermula pada 10 Mei depan.
"Atas inisiatif Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024/25 ini.
"Pelbagai fasa latihan VAR dibuat untuk membiasakan pengadil dengan kemahiran VAR. Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Akademi Pengadil Profesional semasa Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 yang berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Sivasundaram berkata, dalam proses tersebut seramai 22 Pengadil sudah ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil ditauliah sebagai AVAR (Assistant Video Assistant Referee), sembilan Pengadil ditauliah sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro ditauliah sebagai Replay Operator (RO).
"Tambahan seramai 17 Penolong Pengadil dipanggil untuk menyertai Seminar VAR 2024 yang mana ia membolehkan mereka dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 dan 2 bagi perlawanan yang menggunakan VAR.
"FAM juga akan membuat Latihan VAR fasa ke-2 untuk menambah pengadil-pengadil VAR," katanya yang berharap agar pelaksanaan VAR ini dapat meningkatkan lagi prestasi pengadil-pengadil di Liga Malaysia," ujarnya.
BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi
VAR akan digunakan bagi saingan Liga Super musim 2024/25 yang akan bermula pada 10 Mei depan. — FAM
BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak
Sementara itu, Sivasundaram berkata, pelancaran Akademi Pengadil Profesional merupakan sebahagian daripada usaha untuk melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Katanya, seramai 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional bagi fasa pertama iaitu bermula 2023 hingga 2025.
"Bagi fasa pertama ini, FAM memilih pengadil muda dan berpotensi yang mana umur mereka antara 20 hingga 32 tahun.
"Pengadil ini akan diuji dari aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan serta literasi (kebolehan menulis dan membaca) dalam bahasa Inggeris. Sebanyak sembilan modul perlu diikuti oleh mereka," katanya.
Jelas Sivasundaram, seramai lima pengadil daripada kumpulan itu juga dipilih untuk dilatih sebagai pengadil VAR. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram