MOMEN hangat tercetus dalam aksi antara Bangkok United dan Chonburi FC dalam Liga Thailand yang menyaksikan seorang pemain dilayangkan kad merah.
Dalam pertembungan berlangsung di Stadium Thammasat pada Ahad lalu, tuan rumah berada di hadapan pada minit ke-80 dengan kedudukan ketika itu 4-0.
Jadi, tekanan pasti dirasai Chonburi FC yang menurunkan kesebelasan utama terbaik dengan bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira turut beraksi.
Namun, ketika masing-masing cuba fokus dalam perlawanan, pemain gantian, Phitak Pimpae bertindak di luar kawalan apabila melepaskan tumbukan terhadap Peerapat Notchaiya.
Berdasarkan ulang tayang video bantuan pengadil (VAR), penyerang sayap itu cuba melepasi lawannya dalam misi memburu satu gol buat pasukannya.
Tetapi, tindakan itu dapat dirakam sebelum pengadil perlawanan mengambil keputusan melayangkan kad merah terhadap pemain berusia 24 tahun berkenaan.
BACA LAGI: Terima kasih Willian Lira

Phitak dikenakan denda berat atas tindakan tidak profesional di atas padang. — Facebook/Chonburi FC
BACA LAGI: Idolanya bukan kaleng-kaleng, Willian Lira dedah misi bersama KDA FC
Kelakuan tersebut mencetuskan kemarahan dalam pihak pengurusan Chonburi FC yang memberikan denda berat terhadap Phitak atas sikap tidak profesionalnya itu.
Berdasarkan laporan wartawan Thailand menerusi akaun X Ta Lao, gajinya selama tiga bulan dipotong selain perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar denda bakal dikenakan.
Tidak cukup dengan itu, Phitak juga perlu menjalani denda berbentuk khidmat masyarakat untuk 100 jam di samping berdepan risiko penamatan kontrak sekiranya situasi sebegitu berulang.
Kenyataan berkenaan sudah tentu menimbulkan kejutan dalam kalangan penyokong bola sepak Thailand kerana hukuman dihadapinya amat berat.
Berdasarkan laporan, pemain itu sudah menjalani penggantungan satu perlawanan dikenakan terhadapnya ketika kelab itu menewaskan Chiangrai United pada Rabu.
Ia merupakan kali pertama Phitak menerima layangan kad merah dalam kariernya selepas sebelum ini juga pernah digantung akibat jumlah kad kuning diterima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
