[VIDEO] Rebut sepakan penalti, Pochettino label 3 bintang Chelsea kebudak-budakan


  • Podium
  • Selasa, 16 Apr 2024

Ketiga-tiga tonggak Chelsea berkenaan merebut sepakan penalti pada separuh masa kedua. — Agensi

PENGURUS Chelsea, Mauricio Pochettino menyelar tindakan tiga daripada anak-anak buahnya yang bersikap kebudak-budakan dalam aksi berdepan Everton di Stamford Bridge pada Selasa.

Insiden berkenaan tercetus ketika Cole Palmer, Noni Madueke dan Nicolas Jackson merebut untuk mengambil sepakan penalti pada babak kedua permainan.

Skuad The Blues yang ketika itu mendahului dengan empat gol diberikan penalti selepas Madueke dikasari James Tarkowski.

Ketika semakan dibuat di video bantuan pengadil (VAR), ketiga-tiga pemain itu dilihat berebut untuk mengambil sepakan tersebut.

Namun, dengan Palmer diberikan kepercayaan sejak awal musim, bintang muda England itu mudah menewaskan penjaga gol The Toffees, Jordan Pickford untuk memastikan kedudukan 5-0 berpihak kepada Chelsea.

Kekecohan itu bagaimanapun mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan jurulatih The Blues dengan Pochettino jelas kesal mengenainya.

BACA LAGI: [VIDEO] Chelsea pertahan tindakan Callagher tak salam budak pengiring, di luar konteks rasis

BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati alami kekalahan, pengurus Chelsea tolak jurulatih lawan

"Mereka tahu Palmer merupakan penendang penalti. Jadi, saya agak kecewa kerana insiden demikian disaksikan hampir kesemua peminat Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Anda tidak boleh berkelakuan sebegitu dan sepatutnya berbincang mengenainya, lebih-lebih lagi selepas kita meraih kemenangan sedemikian," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Chelsea mencatatkan kemenangan ke-13 dalam EPL selepas menundukkan Everton dengan skor 6-0.

Palmer menjaringkan empat gol dalam perlawanan tersebut sementara dua jaringan lagi disumbangkan Jackson dan pemain simpanan, Alfie Glichrist.

Tiga mata yang dikumpul di laman sendiri berkenaan menyaksikan skuad kendalian Pochettino berada di kedudukan kesembilan dengan tujuh aksi berbaki. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram