[VIDEO] Diasak soalan musim paling teruk Man United punca ten Hag tinggalkan wartawan terpinga-pinga


  • Podium
  • Ahad, 14 Apr 2024

Ten Hag berada dalam tekanan berikutan prestasi tidak menentu dialami pasukannya dalam saingan EPL. — Agensi

KEGAGALAN Manchester United membawa pulang tiga mata selepas hanya seri 2-2 ketika berdepan Bournemouth pada Ahad menyukarkan hasrat mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.

Satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir liga merupakan punca di sebalik kesukar The Red Devils untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas.

Malah, skuad The Red Devils yang kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dibezakan 10 mata berbanding Aston Villa yang berada di kedudukan keempat dengan 60 mata dikumpul.

Tekanan pasti dirasai pengendali, Erik ten Hag yang terus diberi tekanan oleh penyokong berikutan prestasi tidak menentu dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas bek kelab EPL jadi hero, tak fikir 2 kali tumbangkan penceroboh padang bersenjata

Jadi, tidak hairanlah apabila jurulatih kelahiran Belanda itu gagal menahan perasaan ketika dalam sesi sidang media selepas aksi menentang Bournemouth di tempat lawan.

Dia berbuat demikian selepas diajukan soalan mengenai prestasi tidak menentu Manchester United yang berpotensi menyaksikan kelab tersebut berada di kedudukan paling buruk dalam sejarah EPL mereka.

Bagaimanapun, pengurus tersebut masih sempat mengatakan dia enggan menerima pertanyaan sedemikian sambil beranggapan perkara itu tidak penting buat pasukannya.

Sepanjang 32 musim berentap dalam EPL, kedudukan paling teruk pernah dialami skuad The Red Devils adalah pada 2013/14 yang mana mereka mengakhiri saingan di tangga ketujuh.

Rekod itu berpotensi diulangi dengan mereka hanya memiliki enam perlawanan berbaki dalam liga untuk menambah baik kedudukan tersebut.

BACA LAGI: Bukan keeper Itali atau Sepanyol, tapi bekas penjaga gol EPL yang sudah ‘follow’ TMJ

b02023e0-9e69-48cd-8a4e-2137cb5716b3

Manchester United buntu dalam usaha memburu jaringan kemenangan di tempat lawan. — Agensi

Dalam aksi menentang Bournemouth, Manchester United ketinggalan pada minit ke-16 selepas Dominic Solanke meletakkan pasukan lawan di hadapan.

Gol daripada Bruno Fernandes kemudiannya mengikat kedudukan sebelum pemain sayap The Cherries, Justin Kluivert meletakkan tuan rumah di hadapan.

Kapten Manchester United itu sekali lagi menjadi wira buat pasukan, namun usaha demi usaha tidak membuahkan hasil apabila aksi berkenaan berakhir dengan keputusan 2-2.

Skuad kendalian ten Hag bakal berdepan Coventry City dalam pertembungan separuh akhir Piala FA pada 21 April sebelum menerima kunjungan Sheffield United dalam aksi EPL empat hari kemudian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram