KEJUTAN dan keterujaan dirasai peminat bola sepak tanah air apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan kehadiran bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Jordi Amat pada 2022.
Bek tengah yang pernah beraksi beberapa musim bersama Swansea City itu menerima tumpuan ramai memandangkan dia masih berada di kemuncak kariernya.
Selain itu, perpindahan tersebut membuktikan keazaman tinggi daripada Harimau Selatan yang bercita-cita besar dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Namun, apa yang peminat kurang tahu pada waktu tersebut adalah bahawa Jordi Amat baru sahaja menyelesaikan proses naturalisasi bersama Indonesia.
Meskipun lebih diketahui sebagai warga Sepanyol, bek tengah itu mengundang kejutan apabila diberikan status berkenaan yang membolehkannya beraksi untuk JDT di bawah kuota import Asean.
Jordi Amat (kanan) ketika beraksi di EPL bersama Swansea City.
Pengumuman tersebut sememangnya mengundang persoalan dengan pelbagai pihak mempersoalkan latar belakang pertahanan tengah itu untuk membolehkannya mewakili Sang Garuda.
Tetapi, tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila baru-baru ini, Jordi Amat mendedahkan bahawa neneknya, Isje Maas-Villanuev ialah warga Indonesia yang membolehkannya menerima status naturalisasi tersebut.
Lebih menarik lagi, pemain tersebut sebenarnya merupakan seorang putera dengan pemain tersebut pada awalnya berasakan ia hanya satu gurauan dan kisah dongeng.
"Saya hanya berumur lima atau enam tahun ketika nenek saya memberitahu hal itu. Tetapi, dia hanya mengatakan saya akan faham apabila sudah membesar nanti.
Jordi Amat di samping neneknya yang menetap di Indonesia. — Instagram/jordiamat5
"Namun, pada akhirnya, saya tahu bahawa dia tidaklah bergurau," katanya kepada SPORTbible ketika ditanya mengenai latar belakang dan pertalian darahnya.
Berdasarkan susur galur keluarga, Isje merupakan keturunan daripada Raja ke-14 Kerajaan Siau, Jacob Ponto dan cicit kepada Manalang Doelag Kansil yang merupakan Raja ke-17 di Kepulauan Sangihe sekitar Utara Sulawesi.
Sejak diberikan status naturalisasi, Jordi Amat sudah merekodkan 17 penampilan buat Timnas Indonesia dengan satu jaringan berjaya dicatatkannya.
Dia juga menjadi watak utama ketika membantu skuad Sang Garuda menempah tiket ke Piala Asia 2023 selepas memberikan sumbangan penting dalam kempen kelayakan.
Dokumen naturalisasi Jordi Amat yang memaparkan gelaran penuhnya. — SPORTbible
Mengulas mengenai keputusan untuk menyertai skuad Harimau Selatan, Jordi Amat mendedahkan bahawa tawaran daripada juara Liga Super itu sukar ditolak.
"Ketika saya dalam proses membuat pasport, JDT datang dan menghubungi saya. Saya menghubungi beberapa ejen dan mereka kata JDT adalah pilihan terbaik.
"Mereka beraksi di ACL, jadi kemudahan adalah cukup baik. Anda akan rasa seperti di Eropah dengan pengurus kami mahu membuat perubahan dengan visi tersendirinya," kata Jordi.
Sepanjang dua musim bersama skuad Harimau Selatan, Jordi Amat berpeluang menikmati pelbagai kejayaan, termasuk satu gelaran Liga Super serta dua kejuaraan Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram