Zamsaham mohon maaf, akui masalah kewangan punca gaji lambat masuk


  • Podium
  • Isnin, 15 Apr 2024

Zamsaham akui mengalami masalah kewangan dan sukar untuk menyelesaikan masalah gaji pemainnya. — TRW Kelantan FC

PEMILIK kelab Liga Super, Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham mengakui kesilapannya dalam menguruskan isu berkaitan masalah gaji dalam kalangan pemain kelab itu.

Dia yang menjadi sasaran kritikan dan kecaman penyokong The Red Warriors (TRW) akhirnya bersuara mengenai situasi buruk yang melanda kelab tersebut memohon maaf atas apa yang terjadi.

Zamsaham secara terbuka memohon maaf kerana gagal untuk memastikan gaji para pemainnya berjaya diuruskan dengan baik terutamanya pada tiga bulan terakhir sebelum musim 2023 tamat.

Pemilik kelab juara treble Liga Malaysia 2012 itu mengakui ketiadaan tajaan daripada syarikat besar menyukarkan lagi Kelantan untuk beroperasi seperti biasa.

BACA LAGI: 'Arif Aiman relaks je tolak beg', bintang MVP dipuji tunjuk sikap hormat kepada senior

283232567_7415256791880095_3568986830726807210_n

Syed Sobri (jersi hitam) mengatakan Zamsaham menghilangkan diri apabila bercakap mengenai gaji. — MFL

BACA LAGI: ‘Jangan dok buat kepala senior’, Syamer Kutty diingat terus ‘behave’ lepas pulang ke negeri kelahiran

"Saya memohon maaf sekali lagi dan saya bukan menghilangkan diri daripada media sosial, cuma berilah saya ruang sebab saya baru kehilangan ayah saya yang paling saya sayang.

"Cuma tiga bulan terakhir kami tak bayar gaji sebab terus terang kami ada masalah kewangan dan kami tidak dapat tajaan daripada mana-mana syarikat besar," kata Zamsaham menerusi Stadium Astro.

Zamsaham berkata demikian selepas menjawab persoalan yang dilemparkan oleh salah seorang pemain Kelantan pada musim lalu iaitu Syed Sobri.

Sebelum ini, Sobri menyoal tindakan Zamsaham yang seolah-olah menghilangkan diri dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kebajikan para pemain.

Akan tetapi, Zamsaham telah menjawab persoalan tersebut yang dia tidak pernah menghilangkan diri serta Kelantan sentiasa menjaga kebajikan walaupun pemain itu sedang mengalami kecederaan.

Malah bukan untuk Sobri sahaja, tetapi Zamsaham dan Kelantan dalam usaha untuk menyelesaikan segala masalah tunggakan gaji yang menyebabkan kesemua pemain tidak memperoleh hak mereka secara penuh sehingga sekarang.

"Dakwaan saya tak bayar satu sen pun gaji Syed Sobri itu tak betul. Sebab kita di Kelantan ada bayar gaji dia daripada awal musim sampailah tiga bulan terakhir musim lepas.

"Walaupun dia cedera dan sakit tidak turun berlatih, kami bayar gaji dia," jelas Zamsaham.

Selepas disingkirkan daripada Liga Super berkenaan isu kewangan, Kelantan dilaporkan akan beraksi dalam saingan Liga A1 yang merupakan aksi divisyen tiga negara bagi musim 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram