BAGI mana-mana pemain atau kelab, ia adalah satu perkara yang cukup menyeksakan apabila pulang hampa selepas kalah perlawanan akhir.
Dengan kehadiran ribuan penyokong yang membawa harapan tinggi untuk muncul juara, apabila hanya mampu bergelar tempat kedua semestinya terlalu sukar untuk diterima.
Tambahan pula, jika kalah dengan jumlah jaringan yang besar. Itu semestinya akan membuatkan baik pemain, jurulatih atau penyokong berasa amat kecewa kerana gagal memberikan persembahan terbaik pada waktu yang diperlukan.
Itulah yang terjadi kepada kelab Arab Saudi, Al-Ittihad apabila mereka tumpas kepada seteru iaitu Al-Hilal dalam perlawanan akhir Piala Super Saudi.
Dalam aksi yang diadakan pada Jumaat, skuad kendalian Marcelo Gallardo tumbang kepada Al-Hilal dengan jaringan 1-4. Gol Abderrazak Hamdallah tidak cukup untuk menghalang jaringan berganda Malcom, Salem Al-Dawsari dan Nasser Al-Dawsari menumbangkan Al-Ittihad.
Walaupun dibarisi oleh pemain seperti Karim Benzema, N'Golo Kante serta Ahmed Hegazi tidak cukup untuk menghalang Al-Hilal daripada memperoleh gelaran Piala Super Saudi keempat dalam sejarah kelab.
BACA LAGI: ‘Jangan buat pala senior’, Syamer Kutty diingat terus ‘behave’ lepas pulang ke negeri kelahiran
BACA LAGI: Ivan Mamut tak anggap Akinade 'pengacau' posisinya sebagai penyerang utama TFC
Kekalahan yang menimpa Al-Ittihad memang cukup perit untuk diterima oleh penyokong mereka. Hinggakan seorang penyokong bertindak luar biasa dengan menyerang pemain kelab itu.
Ketika Hamdallah telah sedang dalam perjalanan ke terowong menuju bilik persalinan, terdapat seorang penyokong bertindak ganas apabila melibasnya dengan kayu panjang mengenai bahu sebelah kanan pemain tersebut.
Tindakan itu terus menaikkan darah Hamdallah yang sudah bertikam lidah dengan penyokong tersebut sebelum libasan mengenai bahunya.
Orang ramai terpaksa menahan penyokong tersebut serta menghalang Hamdallah daripada terus menerjah individu tersebut untuk mengelakkan perkara tidak diingini terjadi.
Mujur semuanya tidak berlaku apa-apa, tiada insiden lebih teruk berlaku selepas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram