'Arif Aiman relaks je tolak beg', bintang MVP dipuji tunjuk sikap hormat kepada senior


  • Podium
  • Isnin, 15 Apr 2024

Arif Aiman (depan) ketika menolak troli penuh beg untuk dibawa ke Sepanyol bagi jelajah pramusim JDT. — Facebook/JDT

SEJAK pendedahan isu buli dalam dunia bola sepak tempatan dibongkarkan oleh bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA FC), Azmeer Yusof, satu-persatu pemain tampil memberi pandangan masing-masing mengenai budaya berkenaan.

Bek kiri yang kini beraksi bersama Kelana United itu mendedahkan pernah disuruh untuk menguruskan bagasi para pemain senior ketika di lapangan terbang serta perlu mencuci jersi dan kasut mereka.

Ada yang menginginkan kitaran budaya buli terhadap pemain junior itu dihentikan tetapi terdapat juga beberapa bekas tonggak skuad kebangsaan menganggap ia adalah perkara normal berlaku dalam sukan paling popular tanah air berkenaan.

Isu yang masih menjadi topik perbincangan itu memasuki episod baharu apabila sebuah laman Facebook penyokong memberi pandangan mereka dengan menyifatkan membasuh kasut dan stoking serta pemain junior mengangkat beg bukan satu bentuk pembulian.

Laman Facebook, Pahang Is Dead 2.0 itu juga meletakkan pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sebagai contoh pemain junior yang tidak kisah untuk membantu pemain senior mengangkat beg di lapangan terbang.

BACA LAGI: Pernah korek tong sampah cari tiket 'flight', Azmeer Yusof dedah pengalaman buruk dibuli pemain senior

arif aiman 2

Arif Aiman berjaya mempertahankan gelaran MVP selepas kali pertama dinobatkan ketika usianya 19 tahun pada ABK21. — Facebook/JDT

BACA LAGI: Pengaruh 'cable' punca pemain 'injury prone' masih jadi rebutan kelab Liga Super — Azmeer Yusof

"Arif Aiman pemain paling bernilai dekat Malaysia pun relaks saja kena tolak beg. Tak ada pun mengadu dekat media sosial kena buli dengan pemain senior. Tenang-tenang saja dia," tulis laman penyokong berkenaan pada Isnin.

Foto yang dimuat naik itu diambil ketika Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK23) itu menolak troli penuh beg untuk dibawa ke Sepanyol bagi jelajah pramusim JDT.

Sikap merendah diri dan ringan tulang Arif Aiman itu mendapat pujian daripada penyokong domestik yang menyifatkan pemain berusia 21 tahun berkenaan masih menunjukkan rasa hormat kepada pemain senior.

Sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali turut melontarkan pandangannya yang menegaskan bahawa membasuh kasut serta stoking pemain senior adalah satu perkara biasa dalam bola sepak.

"Bagi saya itu bukan kes buli, kerana daripada zaman dulu saya dah pernah mengalaminya. Bukan masalah sebenarnya cuma itu terma kepada sikap menghormati (antara pemain junior kepada senior).

"Ia dianggap sebagai pembinaan kepada sikap hormat dalam pasukan terutama kepada orang yang lebih tua. Bukan buli pada pandangan saya. Ia normal kalau setakat suruh basuh kasut dan stoking. Itu normal," ulas Safee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram