‘Jangan dok buat kepala senior’, Syamer Kutty diingat terus ‘behave’ lepas pulang ke negeri kelahiran


  • Podium
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Syamer kembali ke Penang FC sebagai pemain pinjaman. — Penang Football Club

BERITA gembira buat penyokong Penang FC apabila mereka berjaya mendapatkan semula pemain kelahiran Pulau Mutiara iaitu Syamer Kutty Abba bagi musim 2024/2025.

Menyertai Penang daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), pemain tengah Harimau Malaya itu akan bersama skuad kendalian Akmal Rizal untuk semusim sebagai pemain pinjaman.

Kehadiran Syamer pastinya menimbulkan keterujaan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang kerana kualiti yang ada padanya mampu menambah sengat di bahagian tengah kelab tersebut.

Ditambah dengan corak permainannya yang berkualiti tinggi serta sudah biasa dengan suasana beraksi di Stadium Bandaraya, pastinya Syamer cepat untuk membiasakan diri dengan kelab yang pernah diwakilinya dari 2016 hingga 2018.

BACA LAGI: Belum sampai Perak lagi, tapi import Seladang siap-siap 'follow' 2 tulang belakang TBG

BACA LAGI: Dibayar wang pampasan sertai skuad Piala Thomas, Zii Jia tekad tak mahu kecewakan Malaysia

Rata-rata penyokong gembira dengan kepulangan Syamer ke negeri kelahirannya serta berharap anak jati George Town itu dapat membantu Penang mencapai kejayaan.

"Steady orang kita Syamer kembali berbakti di tanah kelahiran," kata penyokong bernama Nor Hisham Hashim.

"Mantaplah Penang FC, barulah penyokong semangat nak turun stadium," ujar An Nukman yang gembira dengan kepulangan Syamer.

"Alhamdulillah, semoga bertambah mantap Penang FC musim ini, Haria Penang Haria," komen Razman Abd Rahim.

Dalam masa yang sama, ada penyokong yang memberikan pesan kepada Syamer supaya memberikan yang terbaik bersama Penang.

Mereka berharap Syamer menjaga dietnya sepanjang berada di Pulau Pinang, maklumlah syurga nasi kandar, kan?

Selain itu, mereka mahu Syamer kekal tunduk mengikut resmi padi dan tidak berlagak diva apabila beraksi di Stadium Bandaraya.

"Tahap biasa-biasa saja, cuma kurangkan main ikut kepala sendiri," kata penyokong bernama Bro Addy.

"Hang mai sini jangan pekena nasi kandar lebih sudah, nanti jadi parpu," pesan Wan Azzuan Anna pula.

"Syamer sila ikut dan dengar arahan jurulatih. Jangan sesekali dok buat kepala senior. Anda lebih kurang saja dengan mereka yang salam skuad," komen Megat Shah.

Musim ini, penyokong Penang berpeluang dapat menyaksikan gandingan antara Syamer dengan adiknya iaitu Haziq Kutty kerana kedua-duanya bersama dalam skuad Harimau Kumbang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram