DALAM misi menajamkan lagi jentera serangan pasukan, skuad The Bos Gaurus (TBG) difahamkan bakal membawa masuk penyerang import baharu, Wilmar Jordan.
Pemain kelahiran Colombia itu dikhabarkan bakal tiba di Perak tidak lama lagi dengan kelab Utara tanah air itu masih belum memiliki seseorang di posisi berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini, dia masih belum menjadi milik skuad kendalian Yusri Che Lah itu kerana status semasanya melihatkan dia masih beraksi di India bersama Punjab FC.
Sebelum ini, dia difahamkan akan menyertai Perak FC secara rasmi pada Mac lalu setelah beraksi bersama pasukannya dalam saingan Liga Super India berdepan Odisha FC.
BACA LAGI: Belum sampai Perak lagi, tapi import Seladang siap-siap 'follow' 2 tulang belakang TBG
Wilmar dikaitkan dengan skuad TBG sejak beberapa minggu lalu. — Facebook/Malayantigerfans
Tetapi, setelah hampir seminggu sejak perlawanan terbabit, Wilmar masih belum menyarung jersi skuad TBG, sekali gus membuatkan segelintir penyokong gusar.
Selain masih belum memiliki seorang penyerang prolifik, kegagalan membawa masuk import berusia 33 tahun berkenaan hanya akan merencatkan perancangan pasukan.
Tidak cukup dengan itu, kerisauan tersebut timbul kerana insiden sedemikian pernah dialami beberapa pasukan Liga Super yang gagal mendapatkan sasaran masing-masing selepas beberapa bulan dikaitkan.
Malah, dua gergasi tanah air, Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) juga tidak terkecuali apabila mereka gagal membawa masuk pemain didambakan pihak kejurulatihan.
Berdasarkan laporan lalu, berikut merupakan dua pemain yang dikaitkan dengan kedua-dua kelab berkenaan, namun persetujuan gagal dimeterai pada akhirnya.
1. Radamel Falcao (JDT)
Pada jendela perpindahan kedua musim lalu, skuad Harimau Selatan berkali-kali dikatakan bersedia untuk mengalu-alukan kehadiran penyerang berbisa Colombia, Radamel Falcao.
Dia yang pernah beraksi di beberapa kelab gergasi dunia, seperti Chelsea dan Manchester United mencetuskan kehangatan kerana mempunyai reputasi cukup megah.
Selain pernah beraksi di Piala Dunia, Falcao mempunyai rekod membanggakan di Eropah dengan berada di kedudukan kedua dalam carta penjaring terbanyak sepanjang masa dalam Liga Europa UEFA (UEL).
Khabar angin mengaitkannya dengan JDT juga bukanlah hanya rekaan di media sosial kerana pemilik JDT, Tunku Ismail Idris pernah bersemuka dengannya beberapa kali.
BACA LAGI: Pernah dedah mahu buru 'striker' tajam, import Colombia bakal gegarkan Perak FC
Falcao (kiri) sempat bertemu Tunku Ismail Idris sebanyak beberapa kali.
Selain itu, hubungan baik pihak pengurusan kelab dengan ejen Falcao membuatkan ura-ura itu cukup logik, sekali gus membuatkan rata-rata penyokong lawan cemburu.
Tetapi, perpindahan itu akhirnya gagal dimeterai kerana kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kata putus dengan permintaan gaji dikatakan salah satu faktor utama.
Skuad Harimau Selatan kemudian mengambil keputusan mendapatkan penyerang prolifik dari Liga Thailand, Heberty Fernandes yang sehingga kini masih beraksi buat pasukan itu.
Bagi Falcao pula, dia yang kini sudah berusia 38 tahun masih beraksi di tahap tertinggi bersama Rayo Vallecano di La Liga dengan satu gol direkodkannya dalam 19 penampilan setakat ini.
2. Safee Sali (Selangor FC)
Ketika di kemuncak kariernya, Safee Sali merupakan seorang penyerang paling digeruni di rantau Asia Tenggara, lebih-lebih lagi selepas membantu Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2010.
Jadi, tidak hairanlah apabila kelab Indonesia, Pelita Jaya sanggup mengeluarkan perbelanjaan lumayan semata-mata mahu membawa pemain itu ke liga mereka.
Meskipun bermula agak perlahan, dia tidak menunggu lama untuk mendapatkan rentak di negara jiran apabila dilantik sebagai kapten pasukan pada musim keduanya.
Tetapi, selepas tiga tahun di Indonesia, Safee menyatakan hasrat untuk kembali ke tanah air dengan beberapa pasukan dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Hasrat Selangor untuk mengalu-alukan kepulangan Safee Sali tidak kesampaian.
Salah satu kelab yang menyatakan hasrat itu ialah Selangor FC yang pernah diwakili penyerang berbisa itu pada awal kariernya dengan beberapa kejayaan diraih.
Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad turut mengesahkan perkara berkenaan sebelum dia menjalani tugasan antarabangsa dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.
Namun, hasrat itu tidak tercapai apabila dia memilih untuk menyertai JDT dengan dia terus menjadi watak penting ketika skuad Harimau Selatan meraih kejayaan demi kejayaan.
Dia kemudiannya kekal di Selatan tanah air untuk tiga musim sebelum berkelana dalam Liga Super dengan PKNS dan Petaling Jaya (PJ) City FC merupakan antara kelab disertainya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram