MALAYSIA sering menjadi destinasi bagi kelab-kelab utama dunia datang untuk melakukan jelajah pramusim. Kelab-kelab seperti Manchester United, Liverpool dan Arsenal antara pasukan yang sering ke sini.
Lazimnya mereka akan datang ketika pertengahan tahun ketika saingan liga sedang berehat dan mereka dalam persiapan menghadapi musim baharu.
Walaupun negara kita sering didatangi oleh kelab Inggeris, Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah kepada kelab Sepanyol seperti Barcelona pada 2013.
Kehadiran Barcelona ke Malaysia ketika itu mencuri perhatian ramai apabila mereka tiba dengan pelbagai nama besar seperti Lionel Messi, Neymar dan juga Xavi Hernandez.
BACA LAGI: Lega FIFA benarkan daftar pemain, tiba masanya kepak Kenari penuhkan Darul Aman
BACA LAGI: Hero Sabah-TFC termasuk bekas buangan JDT masih 'available'
Dalam aksi yang diadakan di Stadium Shah Alam, pelbagai detik menarik terhasil daripada perlawanan tersebut. Rata-rata penyokong yang datang pasti tidak dapat lupakan kekecewaan apabila Messi tidak turun beraksi dan cuma duduk di bangku simpanan.
Selain itu, gol cantik daripada Amri Yahyah telah menggamatkan Stadium Shah Alam hasil satu penyudah cantik. Namun begitu, terdapat satu insiden yang menyaksikan pertembungan antara dua pemain.
Pemain tengah Barcelona ketika itu, Cesc Fabregas berang dengan tindakan Wan Zack Haikal yang melanggarnya ketika bola hampir keluar daripada kawasan permainan.
Walaupun perlanggarannya cuma sedikit, ia sudah cukup membuatkan Fabregas naik angin lalu pergi menyerang Wan Zack.
Timbul detik panas antara kedua-dua pemain kerana Zack yang tidak perasan apa-apa, terkejut apabila diserang pemain antarabangsa Sepanyol itu.
Perbalahan itu terpaksa ditenangkan oleh Neymar dan pemain-pemain lain juga hadir untuk menyelamatkan keadaan daripada situasi menjadi lebih tegang.
Mujur tiada kecederaan berlaku dan pengadil turut tidak menghukum Fabregas atau Wan Zack di atas apa yang terjadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram