
PERUBAHAN masih perlu direncanakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang aksi Piala Asia B-23 di Qatar bermula Rabu depan.
Meskipun sudah menjalani beberapa aksi persahabatan, skuad muda kebangsaan itu masih belum berada di tahap terbaik, lebih-lebih lagi dari segi pertahanan.
Ini termasuk kealpaan benteng yang terlalu mudah menghadiahkan sepakan penalti buat pihak lawan seperti mana disaksikan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Jadi, tonggak pasukan, Ubaidullah Shamsul Fazili tampil mengingatkan rakan sepasukannya supaya fokus dalam perlawanan akan datang, termasuk dalam aksi Piala Asia B-23.
"Kami perlu lebih berhati-hati, terutamanya dalam aspek pertahanan kerana kami dalam dua aksi persahabatan baru-baru ini, kami menghadiakan tiga sepakan penalti.
"Kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah sebegini dalam pertandingan lebih besar," kata pemain Terengganu FC itu.
BACA LAGI: Isu dana FAM bukan baharu, pernah jadi lebih teruk sehingga buatkan TMJ 'terkejut'
Skuad B-23 negara kini mengadakan sesi latihan di Qatar menjelang saingan Piala Asia B-23. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Pemain kacukan Jerman masih tunggu jawapan FAM, sedih tidak dapat pulang beraya di Malaysia
Baru-baru ini, skuad B-23 negara memilih untuk berdepan India sebanyak dua kali dan China sebagai aksi pemanas badan menjelang kempen Piala Asia B-23.
Harimau Muda bakal berdepan Uzbekistan B-23 dalam aksi pembukaan di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Rabu sebelum bertemu Vietnam dan Kuwait untuk baki saingan Kumpulan D.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu kini sedang sibuk mengadakan sesi latihan di Qatar bermula 12 hari lalu dengan harapan besar diletakkan di bahu mereka.
"Persembahan kami masih belum cukup baik dan kami masih bekerja keras untuk mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dibuat menjelang aksi Piala Asia B-23 nanti," katanya.
Ubaidullah pasti akan menjadi nadi skuad muda kebangsaan dengan penampilannya dalam pasukan itu cukup penting dalam membantu mereka layak ke pertandingan berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram