PERTAHANAN skuad kebangsaan bawah 23 (B-23), Ubaidullah Shamsul mengatakan yang masih lagi ada perkara yang perlu diperbaiki dia dan rakan-rakan sebelum Piala Asia B-23 berlangsung.
Selepas mengharungi empat perlawanan pemanas badan, pertahanan tengah Terengganu FC itu mengakui kecewa dengan keputusan yang diraih.
Hal ini kerana, Malaysia cuma menang sekali iaitu ketika berdepan India namun kalah kepada pasukan sama pada aksi pemanas badan kedua selain tewas di tangan China dan Qatar.
Tinggal satu saja lagi aksi pemanas badan dengan identiti pihak lawan belum lagi dapat dipastikan, Ubaidullah mengatakan ada dua perkara mesti dibaiki Harimau Muda sebelum berdepan Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam di peringkat kumpulan.
Dua perkara tersebut adalah memantapkan penyudah serta tidak bertindak cuai ketika menyerap serangan pihak lawan.
"Cuma kami perlu baiki lagi, asah di bahagian serangan serta kurangkan kecuaian dalam padang, kerana dalam beberapa perlawanan ini kami sudah boloskan tiga sepakan penalti.
"Bagi saya, itu adalah perkara yang kita tak boleh buat selalu apabila kita akan kejohanan besar," kata Ubaidullah selepas Malaysia kalah 0-1 kepada Qatar pada aksi persahabatan keempat mereka.
BACA LAGI: Bagaikan terkena sumpahan 100 tahun, adakah Sang Kenari senasib Negeri Sembilan dan Perak?
BACA LAGI: Lepas bangkit dari kecederaan ACL, Ayon kini mahu buktikan usia sekadar angka
Ubaidullah sememangnya tidak berpuas hati dengan mutu permainan pada perlawanan tersebut kerana pasukan dilihat lambat panas, kerap hilang bola serta ragu-ragu ketika membuat keputusan terutamanya di separuh masa pertama.
Mujur, peningkatan dapat dilihat pada separuh masa kedua apabila para pemain saling membantu dan corak permainan lebih tersusun ditampilkan skuad Juan Torres Garrido.
Walaupun tidak berhasil mendapatkan keputusan yang positif sebelum kejohanan bermula, Ubaidullah tetap melihat sesuatu yang positif pada pasukannya.
Keserasian para pemain dilihat semakin baik dan mampu membantu Malaysia mendapatkan kemenangan yang dicari pada kejohanan kelak.
"Hanya satu menang dan keputusan lain kurang memberangsangkan tapi saya rasa dari segi corak permainan dan keserasian kami semakin meningkat, ia adalah bagus sebagai persediaan untuk ke Piala Asia B-23.
"Saya rasa memang ada peningkatan dari segi corak permainan dan kemahiran teknikal dari satu ke satu perlawanan. Untuk keserasian, itu memang tak boleh dinafikan kerana kami memang sudah serasi," ujar Ubaidullah.
Harimau Muda dijangka akan menentang satu lagi lawan pada aksi pemanas badan sama ada pada 10 atau 11 April kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram