Pemain kacukan Jerman masih tunggu jawapan FAM, sedih tidak dapat pulang beraya di Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 10 Apr 2024

Armin kini mewakili TSV Gilching di liga divisyen keenam Jerman. — Instagram/Armin Maier

SELURUH umat islam di dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu selepas sebulan menahan lapar dan dahaga di siang hari bagi menunaikan rukun islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Walaupun umat islam di serata dunia mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan yang mewajibkan mereka berpuasa di bulan Ramadan sehingga memaksa mereka menahan nafsu daripada makan dan minum akibat keletihan.

Namun, ia bukanlah alasan buat pemain bola sepak warisan Jerman-Malaysia, Armin Maier Rafi, 27, untuk memberi alasan tidak berpuasa selepas menyertai pasukan baharu di negara kelahirannya, TSV Gilching.

"Puasa di Jerman bukan mudah kerana di sini (Jerman) bukan negara Islam, dan oleh itu mereka tidak begitu mengambil peduli tentang Ramadan.

"Selain itu, waktu berpuasa di sini lebih lama berbanding di Malaysia. Semua itu menyukarkan saya untuk bertahan di bulan Ramadhan, tapi alhamdulillah setakat ini saya berjaya menguruskannya dengan baik.

"Saya melihat semua ini sebagai ujian dari Allah S.W.T, untuk melihat sejauh mana kekuatan iman saya.

"Awal tahun lepas, saya sepatutnya menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT), tetapi malangnya masih ada masalah untuk mendapatkan pasport Malaysia, jadi saya terpaksa pulang ke Jerman.

"TSV Gilching ialah kelab yang menghubungi saya serta-merta apabila tiba di Jerman dan mereka benar-benar mahu menandatangani saya, oleh itu ia sebab utama kenapa saya menyertai mereka," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Misteri GK bertopeng terungkai? Kelibat penjaga gol Itali dikesan saksikan JDT benam Lion City Sailors

Armin Maier 2020

Armin pernah mewakili Selangor FC II pada musim 2020. — Facebook/Armin Maier

Bekas pemain Selangor FC ini juga mengambil makanan yang berkhasiat semasa berbuka bagi mengekalkan staminanya untuk kekal bertenaga apabila turun membuat latihan bersama kelabnya.

"Paling penting ialah berbuka puasa dengan makanan yang berkhasiat, agar badan saya mampu menangani tekanan latihan dan puasa.

"Saya memberi banyak perhatian untuk mendapatkan semua nutrien saya seperti protein yang mencukupi dan juga elektrolit, yang saya hilang apabila saya berlatih dan berpeluh.

"Jika anda tidak memberi perhatian kepada butiran kecil sebagai atlet profesional, prestasi anda akan terjejas," jelasnya.

BACA LAGI: Tak perlu rekrut sampai ke Brazil, Saddil Ramdani, Manny Ott termasuk 3 nama import Asean wajar jadi ‘buku manual’

Armin yang berkongsi perayaan di Jerman mengakui sedih apabila tidak berpeluang beraya di Malaysia untuk berjumpa keluarga memandangkan Liga Jerman masih lagi berjalan.

"Sejujurnya, saya belum sempat lagi nak cari baju hari raya, saya lambat sikit.

"Budaya Hari Raya di Jerman dan Malaysia agak berbeza. Di sini tak biasa bagi duit raya kepada kanak-kanak, tetapi keluarga saya masih mengamalkannya. Kita ikut budaya Malaysia.

"Tahun ini, malangnya saya tidak dapat pulang ke Malaysia untuk Hari Raya Aidilfitri, kerana musim saya di sini sedang berjalan dan saya tidak boleh pergi begitu sahaja.

"Saya akan meraikan bersama keluarga saya dan komuniti kecil Islam yang ada di Jerman. Saya sangat rindu menyambut hari raya di Malaysia," ujarnya.

Armin Maier Singapura

Armin juga pernah mewakili skuad muda Singapura. — Instagram/Armin Maier

Pemain yang pernah menyarung jersi JDT ini juga sempat berkongsi perkembangan semasanya di Jerman sambil masih menunggu jawapan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status kewarganegaraannya.

"Buat masa ini, saya fokus untuk pasukan, TSV Gilching yang mana saya seronok dapat belajar banyak daripada jurulatih dan pemain berpengalaman dalam pasukan saya.

"Standard di sini juga sangat tinggi, jadi sangat bagus untuk saya berkembang sebagai pemain.

"Buat masa ini, tiada perkembangan langsung mengenai pasport Malaysia saya. Saya memerlukan FAM untuk meneruskannya, dan mereka sibuk dengan perkara lain pada masa ini, seperti semua orang tahu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram