Isu dana FAM bukan baharu, pernah jadi lebih teruk sehingga buatkan TMJ 'terkejut'


  • Podium
  • Khamis, 04 Apr 2024

TMJ membantu memulihkan masalah struktur kewangan goyah yang pernah dialami FAM sebelum ini.

KEMELUT pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi bahan bualan hangat minggu lalu selepas terdapat pendedahan pihak tidak dikenali mengenai isu dalaman.

Selain isu salah guna kuasa, terdapat dakwaan kononnya badan induk bola sepak negara berkenaan berdepan masalah ketirisan dana bernilai jutaan ringgit.

Pendedahan berkenaan pasti amat mengecewakan kerana penyokong mengharapkan dana dimiliki mereka dapat digunakan demi masa depan bola sepak negara.

Isu sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu apabila FAM pernah berdepan masalah sama tujuh tahun lalu sehingga menerima tamparan hebat.

BACA LAGI: Isu 'surat layang': FAM sedia buat laporan polis

2620795

Masalah kekurangan dana boleh membantutkan perancangan bola sepak negara. Facebook/FAM

Ketika itu, persatuan berkenaan berada di bawah kendalian Tunku Ismail Idris sebagai Presiden yang bercita-cita besar dalam memberi nafas baharu buat sukan tersebut.

Bagaimanapun, dia yang kini merupakan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui terkejut dengan isu kewangan dialami apabila tiada sumber kewangan kukuh.

Menurutnya, kedudukan kewangan FAM berada dalam keadaan kritikal apabila memerlukan dana sebanyak RM40 juta untuk membiayai kos operasi persatuan.

Jadi, dalam mendepani isu berkenaan, Presiden FAM tersebut mengambil keputusan drastik dengan memberhentikan 20 kakitangan pentadbiran dan teknikal mereka.

BACA LAGI: FAM tidak panik dakwaan surat layang — Rosmadi Ismail

1527643

TMJ memiliki personaliti cukup lantang dalam menyelesaikan isu pengurusan.

Walaupun tindakan itu dilabel tidak berhati perut oleh penyokong, ia merupakan langkah awal dalam memulihkan struktur kewangan mereka yang semakin goyah.

Pendekatan demikian akhirnya membuahkan hasil apabila FAM kini memiliki dana mencukupi untuk membantu arena bola sepak negara.

Selain mudah menarik bantuan kewangan, mereka juga mempunyai wang ringgit mencukupi kerana lebih cermat dalam menguruskan kewangan.

Perubahan itu dapat disaksikan apabila pihak pengurusan dapat membuat perbelanjaan lebih berbaloi, lebih-lebih lagi dalam membawa masuk Kim Pan-gon sebagai jurulatih Harimau Malaya.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat isu ketirisan dana, hal sedemikian perlu diatasi segera kerana ia boleh menjadi barah yang membimbangkan dalam persatuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram