PERAK FC menamatkan saingan Liga Super musim 2023 di kedudukan ke-11 dan pencapaian itu bukanlah perkara yang diinginkan oleh Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.
Susulan perkara itu, pengendali The Bos Gaurus (TBG) itu mahu melakukan perubahan sebelum musim 2024/25 bermula.
Baru-baru ini, Perak sudah mengumumkan ketibaan lima pemain baharu antaranya Adilet Kanybekov dari Kyrgyzstan.
Selain membawa masuk kapten Kyrgyzstan Bawah 23 Tahun (B-23) itu, bek kiri, Tommy Mawat Bada, Ariff Ar-Rasyid (pertahanan), Ramadhan Hamid (penjaga gol) dan pemain tengah menyerang, Nur Azfar Fikri Azhar antara wajah baharu yang turut tiba di bumi Perak.
BACA LAGI: Bukan setakat tonggak KDA FC, winger Harimau Muda juga makin hampir ke Sri Pahang
Kehadiran import Colombia dijangka bakal membawa perubahan besar terutamanya bahagian serangan Perak FC. — Agensi
BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli
Bagaimanapun, sebelum ini, Perak FC pernah mendedahkan bahawa kelab itu mahu mencari penyerang berkualiti bagi membantu skuad kendalian Yusri meningkatkan jumlah gol pada musim depan.
Ia susulan selepas Perak FC hanya meledak 25 gol dalam perlawanan Liga Super musim lalu.
Dalam pada itu, menerusi satu perkongsian di laman X oleh pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran mendedahkan bahawa Perak FC berpeluang untuk mengikat import kelahiran Colombia, Wilmar Jordan Gil.
"Perak FC boleh meningkatkan kekuatan serangan mereka dengan menandatangani penyerang Colombia, Wilmar Jordan. Dia kini bermain untuk Punjab di ISL," ciapnya.
Beraksi di posisi penyerang bersama kelab Punjab FC, Jordan sudah membuat 11 penampilan dan mencetak empat gol dalam saingan Liga India.
Perak FC berpeluang untuk menandatangani kontrak pemain berketinggian 1.79 meter selepas kontraknya bersama Punjab FC bakal tamat pada 31 Mei 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram