FIFA tarik balik sekatan, bintang tersisih Pahang dan Perak wajar jadi buruan isi posisi tenat Kedah


  • Podium
  • Khamis, 11 Apr 2024

Kedah akhirnya mampu menarik nafas lega selepas hasrat mereka untuk menandatangani pemain baharu sudah diluluskan FIFA. — Facebook/Kedah

TANGGAL 1 Syawal buat Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin bermakna apabila sekatan perpindahan pemain yang dikenakan pada 4 Mac lalu akhirnya sudah ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu.

Dalam satu pengumuman di laman Facebook kelab, mereka sudah menerima surat pengesahan daripada badan induk bola sepak dunia itu yang mengesahkan skuad Hijau Kuning boleh menandatangani pemain baharu bagi membantu mengharungi musim 2024/2025.

"Pihak pengurusan menegaskan, isu ini berbangkit kerana aspek teknikal yang boleh dielakkan sejak awal dan pihak pengurusan sudah menyelesaikan tuntutan bekas pemain pasukan Kedah musim 2020 dan 2021.

"Selaras dengan persiapan musim ini, pengesahan ini membolehkan pihak kelab membuat pendaftaran pemain baharu bagi saingan musim 2024/25," katanya.

Perkembangan yang dikongsikan oleh Sang Kenari ini menyaksikan Kedah boleh menyambung semula misi mereka untuk mencari pemain baharu berkualiti di setiap posisi bagi melengkapi skuad depth.

Sepanjang jendela perpindahan kali ini, skuad Sang Kenari sudah membawa masuk beberapa pemain tempatan seperti Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, Irfan Zakaria, Zamri Pin Ramli dan Hasbullah Abu Bakar.

Selain itu pasukan kendalian Nafuzi Zain juga turut menyambar khidmat import baharu, termasuk penyerang kelahiran Serbia, Milos Gordic, bekas kapten skuad Sang Penyu, Habib Haroon, Sony Norde dan Sukhrob Nurullaev.

Dengan lampu hijau yang diberikan oleh FIFA itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain boleh disambar Kedah bagi mengisi posisi tenat mereka;

1) Michael Glassock

WhatsApp Image 2024-04-10 at 20.07.35

Glassock dilepaskan skuad Tok Gajah meskipun memainkan peranan penting sepanjang musim. Facebook/Sri Pahang FC

Bek tangah Sri Pahang, Michael Glassock menjadi antara pemain yang wajar berada dalam senarai buruan pasukan Kedah bagi membantu memperkuatkan lagi bentang pertahanan Hijau Kuning pada musim ini.

Selepas kehilangan Bojan Ciger yang menyertai pasukan di Liga Super Uzbekistan, FC Neftchi Fergana, pasukan Sang Kenari kini hanya mempunyai dua bek tengah tempatan iaitu Akmal Zahir dan Irfan.

Khidmat dua pemain itu tidak terlalu kukuh untuk mengawal benteng pertahanan terutamanya ketika perlawanan menentang pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

Oleh itu, Kedah perlu mempertimbangkan bek tengah kelahiran Australia, Glassock yang mampu membaca gerakan lawan serta membuat bentesan bagi mengelak benteng pasukan dicerobohi.

Selain itu, usianya yang baru berusia 24 tahun juga merupakan satu kelebihan dengan tawaran kontrak jangka masa panjang boleh diberikan, sekali gus menyelesaikan isu pertahanan buat satu jangka masa panjang.

2) Nik Sharif Haseefy

WhatsApp Image 2024-04-10 at 20.07.33

Nik Sharif masih gagal menjadi penyerang kanan utama Terengganu. — Facebook/TFC

Sejak berhijrah ke Terengganu FC (TFC) secara pinjaman dari Selangor pada jendela perpindahan kedua musim 2022 dan diserap sebagai tonggak tetap pada 2023, Nik Sharif Haseefy masih dianggap sebagai pemain kedua dalam posisi penyerang sayap kanan.

Musim lepas, tonggak berusia 27 tahun berkenaan akan bersaing dengan Nor Hakim Hassan dan Sony Norde sehingga menyaksikan dia hanya merekodkan 14 perlawanan Liga Super, lima daripadanya dimasukkan sebagai pemain gantian.

Persaingan merebut minit permainan diramal semakin sukar buat Nik Sharif susulan kehadiran bintang pinjaman dari JDT, Safawi Rasid yang dijangka akan menjadi taruhan utama Tomislav Steinbruckner untuk posisi penyerang kanan.

Justeru itu, kesempatan berkenaan perlu segara direbut Kedah bagi menambah pilihan bahagian serangan kanan mereka, yang kini hanya dianggotai oleh pemain Uzbekistan, Nurullaev.

Nik Sharif juga dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri kerana pengalamanya yang pernah menjadi anak didik Nafuzi sewaktu pengendali itu berkhidmat untuk Terengganu pada musim 2022.

3) Raja Imran Shah

WhatsApp Image 2024-04-10 at 20.07.30

Raja Imran menyertai Perak pada awal tahun lepas. — Facebook/PerakFC

Pemain pertahanan versatil, Raja Imran Shah sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk berhijrah ke pasukan lain menjelang musim 2024/2025, sekali gus meninggalkan Perak FC.

Sama ada sebagai pemain pinjaman ataupun tetap, bek kiri yang mampu beraksi sebagai pertahanan tengah itu tekad untuk mencari pasukan baharu bagi mendapatkan minit permainan.

Produk Akademi PKNS FC itu tiba di Perak FC pada awal musim 2023 dengan menandatangani kontrak selama dua tahun namun nasib tidak menyebelahinya apabila kurang mendapat tempat dalam skuad The Bos Gaurus (TBG).

Pemain tinggi lampai itu hanya merekodkan 19 perlawanan domestik bersama skuad Seladang dan 17 daripadanya adalah ketika aksi Liga Super.

Sekiranya Kedah berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu, Raja Imran boleh menjadi bek kiri KDA FC yang kini hanya dilengkapi oleh dua pemain agak berusia, Zamri Pin Ramli dan Ariff Farhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram