KEGAGALAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menyelesaikan isu gaji menyaksikan mereka berdepan pelbagai hukuman yang pasti sukar diterima penyokong.
Sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu sudah tentu sukar ditelan kerana skuad Sang Kenari sudah mengumumkan rekrut tempatan dan import setakat ini.
Bagaimanapun, denda yang sukar diterima adalah apabila mereka dikenakan pemotongan tiga mata meskipun saingan Liga Super 2024/25 belum bermula.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan mengumumkan Kedah berdepan hukuman itu setelah gagal menyelesaikan tunggakan gaji November dan Disember tahun lalu.
BACA LAGI: Buru tiket AFC, Nafuzi terus hargai pemain KDA FC
Masalah demi masalah terus melanda skuad Sang Kenari menjelang musim baharu. — Facebook/KDA FC
Pemotongan mata yang dikenakan berserta denda bernilai RM50,000 tersebut pasti hanya akan memberi tekanan terhadap pengurusan kelab.
Malah, penyokong juga mengalami perasaan sama kerana mereka beranggapan musim KDA sudah tamat, lebih-lebih lagi dengan tiada sinar ditunjukkan pasukan.
Tetapi, ini bukanlah kali pertama kelab Liga Super mengalami pemotongan mata dengan ada sebahagian daripadanya berdepan nasib lebih teruk berbanding Kedah.
Hukuman sebegitu bagaimanapun tidak dijadikan alasan untuk mereka terus berada di takuk lama kerana masing-masing kini sudah berada di landasan terbaik.
Jadi, untuk menjadi pengajaran buat skuad Sang Kenari, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan pernah berdepan pemotongan lebih teruk, namun berjaya bangkit beberapa tahun selepas itu.
1. Perak FC
Musim 2021 boleh dianggap tahun paling mengecewakan buat Perak FC yang tersingkir daripada kancah Liga Super buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Mereka yang baru sahaja menjulang Piala Malaysia tiga tahun sebelumnya berdepan isu tunggakan gaji sehingga rata-rata tonggak pasukan meninggalkan kelab itu.
Namun, nasib lebih teruk dialami ketika skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di Liga Perdana 2022 yang menyaksikan MFL mengenakan pemotongan mata terhadap mereka.
Pada awalnya, tiga mata dipotong daripada kelab Utara tanah air itu berikutan kegagalan mematuhi peraturan kewangan ditetapkan badan induk bola sepak negara.
BACA LAGI: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024
Pemotongan mata menyaksikan Perak berada di dasar Liga Perdana 2022.
Nasib malang sekali lagi menimpa setelah enam lagi mata dipotong dengan tunggakan gaji pemain dan staf pasukan menjadi sebab atas denda itu.
Hukuman berkenaan menyaksikan Perak berada di tangga kesembilan, namun layak ke Liga Super pada musim berikutnya selepas MFL mengumumkan rombakan struktur liga.
Sembilan mata yang dipotong itu jelas menjadi satu pengajaran buat skuad TBG kerana mereka memiliki struktur kewangan lebih kukuh hari ini.
Meskipun belum kembali memegang status gergasi Liga Super, pengurusan lebih cekap menjadi bukti bahawa Perak sudah bangkit setelah mengalami denda berkenaan.
2. Penang FC
Berdasarkan laporan tahun lalu, Penang FC merupakan salah sebuah kelab terbaik dalam menguruskan gaji pemain kerana tiada pendedahan dibuat mengenai masalah itu.
Namun, satu ketika dahulu, skuad Harimau Kumbang pernah terpalit dengan isu tersebut sehingga menyaksikan mereka gagal menempah slot ke Liga Super.
Ketika berada di Liga Perdana 2019, kelab Utara tanah air itu gagal menjelaskan tunggakan dialami import dari Brazil, Reinaldo Lobo bernilai AS$90,000 atau RM372,000 pada waktu berkenaan.
Jadi, setelah diberikan peringatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan drastik mengenakan denda berbentuk pemotongan enam mata.
Pemotongan mata menggagalkan hasrat skuad Harimau Kumbang ke Liga Super. — Facebook/FA Penang
Hukuman itu menyaksikan Penang jatuh ke tangga ketujuh dari kedudukan ketiga, sekali gus menutup peluang kelab untuk kembali ke divisyen teratas.
Namun, pada musim berikutnya, skuad Harimau Kumbang menebus kekecewaan terbabit apabila muncul juara Liga Perdana, sekali gus membolehkan mereka untuk 'naik pangkat'.
Kelancaran dari segi pengurusan diteruskan sehingga hari ini dengan Penang FC menjadi antara kelab Liga Super yang tidak berdepan masalah gaji.
Tetapi, pendekatan demikian masih tidak menjanjikan prestasi cemerlang di atas padang kerana mereka hanya menduduki tangga ke-10 musim lalu.
3. Sri Pahang FC
Persembahan lebih baik dipamerkan Sri Pahang FC musim lalu apabila mereka menamatkan musim di tangga keempat dalam Liga Super selain mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Meskipun kedudukan itu tidaklah begitu memberangsangkan, ia dapat mengubati hati penyokong yang kecewa dengan prestasi pasukan beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, memori paling gelap pernah dialami pengikut setia pasukan adalah ketika mereka dikenakan pemotongan enam mata daripada FAM.
Malah, hukuman itu amat pahit untuk ditelan kerana hukuman demikian menutup peluang skuad Tok Gajah untuk muncul naib juara Liga Super 2015.
Prestasi cemerlang Pahang di atas padang dicalarkan isu pengurusan.
Berdasarkan laporan terdahulu, Pahang dikenakan tindakan itu berikutan isu pampasan dan gaji bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji pada dua musim sebelumnya.
Skuad Tok Gajah yang cemerlang ketika itu terpaksa menghadapi hukuman itu sehingga menyaksikan Selangor FA berjaya memiliki slot ke Asia.
Tetapi, seperti Perak dan Penang, kelab Pantai Timur berkenaan turut memberikan usaha terbaik untuk bangkit dan cuba memadamkan sejarah gelap itu.
Walaupun kini masih bergelut dengan isu konsistensi di atas padang, pengurusan lebih baik membuatkan status mereka terus digeruni dalam kalangan pencabar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram