Ada hikmah tiada kelab dan cedera, Nazirul Naim gembira berniaga sambil raya, tenang bersama keluarga


  • Podium
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Antara jenis makanan yang dijual oleh Nazirul Naim adalah mi kari, laksa, colek, puding dan banyak lagi. — Facebook/Viral Perak

KETIKA pemain lain sedang sibuk mempertimbangkan tawaran daripada kelab dan ada juga yang sudah memulakan kempen pramusim, Nazirul Naim Che Hashim pula masih dalam proses pemulihan agar dapat kembali ke tahap kecergasan seperti sebelum ini.

Bekas bek kiri kebangsaan berkenaan masih tidak mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Super, selain keadaan dirinya yang baru selesai pembedahan lutut pada Januari lalu juga memaksanya untuk memberi fokus sepenuhnya pada proses pemulihan.

Meskipun keadaan fizikal tidak memihak kepada karier pemain berusia 31 tahun itu, namun Nazirul Naim menyifatkan ada hikmah dia terpalit dengan isu kecederaan ketika jendela perpindahan pertama berlangsung.

Menurut Nazirul Naim, kecederaan itu memberi dia peluang untuk menyambut perayaan Aidilfitri dengan keadaan tenang bersama keluarga tercinta tanpa perlu memikirkan perlawanan dan sesi latihan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Persiapan Hari Raya tahun ini sederhana sahaja sebab dengan keadaan saya yang tiada kerja, banyak yang perlu dipertimbangkan. Tapi di sebalik kesederhanaan, ada hikmah yang saya dapat.

“Waktu saya main bola, kami cuti memang tak lama, jadi memang bergegas bila nak balik kampung. Sekarang ini banyak masa bersama keluarga. Boleh masak sebelum raya dan bantu kemas-kemas.

“Walaupun disambut secara sederhana tapi Alhamdulillah semua dalam perancangan. Bila tiada kelab ini, rehab perlu dibayar sendiri, jadi banyak kena buat kira-kira,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Nazirul Naim cedera, isteri kesal kelab Liga Super tak jenguk di hospital dan lepas tangan isu gaji

WhatsApp Image 2024-04-11 at 02.04.26

Nazirul beraksi dalam 17 perlawanan Liga Super bersama KL City pada musim lepas.

Menurut Nazirul Naim, kecederaan yang menimpa dirinya itu berlaku sewaktu dia berkhidmat untuk Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim lepas dan memerlukan masa sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk sembuh sepenuhnya.

Bercakap mengenai masalah gaji yang menimpa bekas majikannya itu, Nazirul Naim turut menarik nafas lega apabila pihak pengurusan skuad Warga Kota berhasil mengotakan janji untuk melunaskan tunggakan gaji.

Sebelum ini, kecoh apabila isteri Nazirul Naim yang menggunakan nama akaun Instagram, Norwahila meluahkan kekecewaannya terhadap pengurusan KL City kerana bersikap lepas tangan terhadap suaminya.

Selepas beberapa bulan bertarung untuk menyelesaikan masalah gaji, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard mendedahkan bahawa pasukan Lembah Klang itu berjaya melunaskan segala tunggakan sebelum tempoh akhir iaitu 30 Mac 2024.

BACA LAGI: Dua bekas hero TBG ambil berkat Ramadan, jual nasi lemak ketika sahur di Stadium Ipoh

WhatsApp Image 2024-04-11 at 02.04.25

Tangkap layar keadaan Nazirul yang dikongsikan oleh isterinya di InstaStory pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Nazirul Naim juga berkongsi bahawa dia kini sibuk menjalankan perniagaan makanan berskala kecil di Ipoh, Perak bagi memastikan aliran kewangan tidak terputus dan dapat menjadi alternatif untuk meneruskan kehidupan.

Antara jenis makanan yang dijual oleh bekas pemain Perak FC itu adalah mi kari, laksa, colek, puding dan banyak lagi.

“Semua itu resipi daripada isteri. Setakat ini, sambutan bulan puasa baru-baru ini sangat terbaik, ramai yang datang sokong dan beli. Untuk bulan puasa, kami berniaga pasang khemah sahaja. Jadi memang orang datang beli di khemah.

“Sebelum ini memang buat perniagaan jenis penghantaran. Kami masak di rumah dan hantar. Tapi bulan puasa istimewa sikit, kami buka gerai.

“Perniagaan ini isteri dah mula sejak tahun lepas jadi dengan keadaan sekarang, yang saya tak terikat dengan mana-mana kontrak dan masih dalam fasa rehab lagi, saya kerjalah bantu isteri,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram