PENGUMUMAN penarikan semula sekatan perpindahan terhadap Kedah Darul Aman (KDA) FC menenangkan hati rata-rata penyokong Hijau Kuning menjelang musim baharu Liga Super.
Mereka yang sebelum ini mengumumkan kehadiran beberapa bintang baharu pasti gusar sekiranya hukuman tersebut dikenakan kerana skuad ketika ini masih belum cukup untuk bersaing.
Tetapi, melihat kepada senarai rekrut, Kedah mempunyai peluang cerah untuk berentap dengan Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali dan import dari Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev merupakan antara yang disambar.
Bagaimanapun, masih terdapat kegusaran terhadap kualiti skuad Sang Kenari yang masih belum membuat rombakan mencukupi terhadap pilihan bek tengah mereka.
Kemasukan Irfan Zakaria boleh dikatakan belum cukup meskipun kelab Utara tanah air tersebut mempunyai Akmal Zahir dan Heshamuddin Ahmad yang sering diturunkan sebagai bek tengah musim lalu.
BACA LAGI: KL City dah selesai, kes FIFA KDA FC apa cerita?

Renan Alves menjadi watak penting selama tiga musim beraksi bersama skuad Sang Kenari.
Bagi penyokong Kedah, mereka mengharapkan pihak pengurusan dapat membawa masuk seorang import di posisi tersebut setelah pemain kelahiran Serbia, Bojan Ciger meninggalkan kelab itu.
Namun, struktur kewangan yang tidak stabil akan mendesak mereka untuk mendapatkan calon yang kurang prolifik, namun memiliki reputasi dan fizikal lebih baik berbanding pemain lokal.
Antara nama yang boleh dianggap sesuai buat skuad Sang Kenari ialah bekas bek mereka sendiri, Renan Alves yang kini beraksi di Indonesia bersama Barito Putera.
Harapan itu tercetus selepas pengguna Facebook, The Red Eagle - Helang Merah berkongsi tangkap layar mengatakan pemain Brazil berkenaan dikaitkan dengan KDA FC.
Hantaran berkenaan sekali gus membuatkan hampir kesemua penyokong pasukan itu tertarik untuk menyaksikan kepulangan bek tengah bertubuh sasa terbabit.
BACA LAGI: Kekalahan Kedah lebih awal dimaafkan atas sebab misteri

Renan Alves kini beraksi di Indonesia bersama PS Barito Putera. — Agensi
"Jika boleh bayar, tidak mengapalah. Musim untuk buat penstrukturan semula ini, bukan boleh nak sasar bintang. Boleh kekal dalam Liga Super dan elakkan daripada menjadi pasukan tercorot, sudah cukup baik," kata Ilham Hamidi.
"Jadi pertahanan boleh, jadi 'seterika' pun boleh. Cuma, kadang-kadang dia bentes lawan sukar diterima akal. Apa-apa pun, kita sokong sahaja," kata Shahrul Aizat Muhammed.
"Wah, kalau betul Renan balik, kembali kebal rasanya Kedah. Tak tahu nak kata apa, tetapi aku memang peminat Renan dan aku tahu hatinya sukar lupakan Kedah," kata Abdul Kadir.
Bek tengah berusia 31 tahun itu beraksi untuk skuad Sang Kenari selama tiga musim bermula 2019 dengan dia menjadi tonggak ketika pasukan berkenaan menjulang Piala Malaysia.
Selain pernah membantu pasukan berkenaan dalam Liga Super, Renan turut diturunkan sebanyak dua kali dalam kempen Kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan satu kad merah pernah diterimanya.
Musim ini, Renan sudah merekodkan 27 penampilan dalam Liga 1 Indonesia dengan lima gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan untuk membantu pasukannya ke tangga kesembilan selepas 30 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
