BARU-BARU INI, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kalendar bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/25.
Menerusi pengumuman tersebut, jadual perlawanan Liga Super melibatkan perlawanan minggu pertama sehingga minggu 13 (LS1 – LS13) bagi membolehkan kelab Liga Malaysia membuat persiapan awal untuk menghadapi musim baharu.
Difahamkan, jadual perlawanan itu melibatkan perlawanan 13 kelab yang akan bertanding dalam Liga Super 2024-2025.
BACA LAGI: Lepas 2 musim bersama Tok Gajah, Ingreso kini buka lembaran baharu di Filipina
Staf kejurulatihan KDA FC dijangka turut terkesan sekiranya Sang Kenari tersingkir dari Liga Malaysia. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, sekiranya badan bebas, First Instance Body (FIB), memutuskan hanya 12 kelab layak bertanding dalam Liga M musim ini, maka MFL akan menyemak semula kalendar dan jadual perlawanan yang lengkap sepanjang musim.
Tidak hairanlah, ada segelintir peminat yang tidak senang duduk khususnya penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang tidak sudah-sudah diuji dengan pelbagai krisis terutamanya membabitkan isu gaji.
Biarpun ia masih belum muktamad, ramai yang bimbang jika KDA FC 'tersingkir awal' gara-gara masalah dialami kelab, sekali gus terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam saingan Liga Super.
Suka atau tidak, skuad Sang Kenari harus membersihkan semula reputasi mereka yang tercalar dengan sentimen luar padang sebelum ini jika mahu terselamat daripada terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kancah saingan domestik.
Berikut Majoriti senaraikan serba sedikit kontroversi dialami skuad Hijau Kuning yang sedikit sebanyak meresahkan penyokong fanatik Kedah:
1. Reputasi buruk sampai ke FIFA
MFL sebelum ini pernah mengesahkan KDA FC tidak boleh mendaftar pemain baharu sehingga sekatan perpindahan pemain ditarik balik oleh FIFA.
Ia susulan selepas isu tunggakan gaji salah seorang pemain import Hijau Kuning ketika itu belum dilunaskan.
Namun begitu, FIFA sudah pun menarik balik sekatan perpindahan tersebut pada Rabu.
Bagaimanapun, reputasi KDA FC sebagai pasukan yang digeruni kini sudah pun tercemar.
Malah, skuad kendalian Nafuzi Zain itu dilihat masih dalam pemerhatian FIFA sekiranya berlaku lagi isu tunggakan gaji.
Ini dapat dibuktikan apabila mereka berdepan isu sama musim lalu, sekali gus meningkatkan kemungkinan ia akan berulang pada masa akan datang.
BACA LAGI: Sabah, Sri Pahang dan Selangor belum rancak 'panaskan enjin' sebelum Aidilfitri
Milos Gordic (kanan) merupakan import baharu Sang Kenari yang dijangka berpotensi membantu jentera serangan skuad itu musim depan. — Facebook/KDA FC
2. Kerap diberi peringatan untuk selesaikan isu gaji
Selain Kuala Lumpur (KL) City FC, KDA FC antara pasukan yang kerap diberi peringatan oleh MFL mengenai isu gaji.
Meskipun sudah diberi peringatan namun KDA FC seolah-olah tidak ambil peduli berkaitan perkara itu.
Susulan itu, Sang Kenari pernah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac 2024 namun kelab berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.
3. Pemotongan tiga mata
FIB sebelum ini mengumumkan bahawa skuad Sang Kenari dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024/25.
Selain itu, skuad Hijau Kuning itu turut didenda RM 50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.
Bagaimanapun, sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada pukul 5 petang 20 April 2024, maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik, sekali gus akan menyebabkan kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024/25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram