KEHILANGAN Brendan Gan mendesak Selangor FC untuk mencari seorang kapten baharu musim depan dengan karakter di atas padang akan memainkan peranan penting dari segi pemilihan.
Bagi sesetengah penyokong, calon terbaik buat kelab Lembah Klang tersebut ialah bek tengah, Safuwan Baharudin yang cukup sesuai untuk memikul peranan itu.
Selain sudah beberapa tahun beraksi bersama skuad Gergasi Merah, bek tengah itu sering dikaitkan dengan sikap kepimpinan dan tegas setiap kali beraksi.
Di samping itu, pemain kebangsaan Singapura tersebut mempunyai pengalaman luas dalam Liga Super, sekali gus meletakkannya dalam senarai pilihan buat penyokong.
Bagaimanapun, hubungannya dengan peminat setia pasukan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibentuk kerana dia pernah menerima makian secara bersemuka dua tahun lalu.
BACA LAGI: Sambut Aidilfitri di Selangor, Noor Al-Rawabdeh idam nasi lemak rendang daging di pagi raya
Dalam satu aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Selangor pada 10 April 2022, skuad Gergasi Merah merekodkan aksi cemerlang ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Dua gol daripada Caion dan satu masing-masing daripada Mukhairi Ajmal dan Nor Hakim Hassan meletakkan mereka 4-0 di hadapan dengan perlawanan memasuki masa kecederaan.
Namun, kealpaan benteng pertahanan Selangor FC menyaksikan penyerang sayap lawan, Fayadh Zulkifli Amin mudah menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
Kemenangan 4-1 itu dianggap kurang memuaskan bagi golongan Ultras Selangor (Ultrasel) kerana kegagalan pemain untuk merekodkan 'clean sheet' di laman sendiri.
Jadi, untuk meluahkan kekecewaan itu, mereka bertindak memanggil skuad Gergasi Merah selepas perlawanan bagi memberi sedikit kata-kata atas kegoyahan barisan pertahanan.
BACA LAGI: Kena jaga pemakanan, juadah sedap Aidilfitri menduga duo bintang Selangor Women
Safuwan (kanan) dijangka mewarisi lilitan tangan kapten Selangor musim depan. — Instagram/Brendan Gan
Tetapi, hal lain berlaku apabila salah seorang daripada penyokong itu bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Safuwan yang beraksi sebagai kapten bagi menggantikan Brendan Gan yang cedera.
"Kau kalau nak jadi juara, kalau dah bolos sampai 30 macam tahun lepas, kepala b***h kau nak jadi juara?" kata penyokong itu sambil dipegang rakan-rakannya.
Pada penghujung musim, Safuwan memilih untuk meninggalkan Selangor FC dan menyertai Negeri Sembilan FC kerana kecederaan kepala dialaminya menyekat peluang di atas padang.
Tetapi, pada pertengahan musim 2023, bek tengah berkenaan memilih untuk kembali dan menjadi tonggak utama dalam membantu skuad Gergasi Merah melangkah ke pentas Asia.
Bagaimanapun, cemuhan dan makian yang diterimanya dalam perlawanan tersebut pasti meninggalkan kesan terhadap rasa sayangnya terhadap kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram