PENGURUS Bayern Munich, Thomas Tuchel berang dengan penjelasan pengadil selepas tidak menghukum Arsenal kerana melakukan 'kesilapan budak-budak' dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara yang berlangsung di Stadium Emirates yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2.
Bayern merasakan mereka sepatutnya mendapatkan lagi satu sepakan penalti selepas pertahanan The Gunners, Gabriel secara jelas memegang bola sebelum penjaga gol Arsenal, David Raya membuat sepakan namun dinafikan oleh pengadil perlawanan, Glenn Nyberg
Dalam aksi tersebut, Bayern mendahului 2-1 pada babak pertama sebelum pemain gantian Gunners, Leandro Trossard menyamakan kedudukan pada minit ke-76.
“Pengadil membuat kesilapan besar. Saya tahu ia adalah keadaan yang gila. Mereka menghentikan permainan dan pemain pertahanan Arsenal mengambil bola dengan tangannya.
“Penjelasan pengadil membuatkan kami berasa marah. Dia memberitahu pemain kami ia adalah kesilapan kecil dan dia tidak akan memberikan penalti untuk kesilapan itu.
“Ia adalah penjelasan yang tidak masuk akal, kami berasa marah kerana ia adalah satu keputusan besar terhadap kami," katanya.
BACA LAGI: Liverpool sedia lepaskan Salah, 2 kelab Saudi sedia berebut buru Egyptian King
BACA LAGI: [VIDEO] Bengang dibuang padang, Ronaldo hampir tumbuk pengadil
Dalam perlawanan tersebut, Bukayo Saka membuka tirai jaringan pada minit ke-12 namun bekas penyerang Arsenal, Serge Gnabry menyamakan kedudukan sebelum sepakan penalti daripada bekas penyerang Tottenham, Harry Kane menjadikan Bayern memiliki kelebihan sebelum tamat separuh masa pertama.
Pada penghujung perlawanan, Saka yang mendakwa dijatuhkan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer di kawasan penalti sempat meminta sepakan penalti namun tidak dilayan.
Meskipun begitu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak memberikan sebarang pendapat mengenai insiden Saka.
"Keputusan sudah dibuat. Kami tidak boleh mengubahnya.
"Kami bermula dengan amat baik. Kami mendominasi, mencipta beberapa momentum dan menjaringkan gol pertama. Kemudian saat genting apabila kami tidak mendapat gol kedua.
"Kami melepaskan dua gol kepada mereka. Ini adalah pengajaran terbesar. Apabila mereka mendapat ruang ini, mereka boleh menghukum anda," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram