PEMAIN boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dengan memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait Oktober lalu.
Lebih manis lagi, pemain berusia 28 tahun itu mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane, 32, menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.
Dalam pada itu, bercakap mengenai sambutan yang semakin kurang terhadap sukan boling berkenaan, Natasha mengakui bahawa kurang pendedahan antara punca mengapa sukan itu kurang popular, tidak seperti zaman legenda ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli.
"Mungkin tak segempak dari segi exposure dekat orang luar. Tapi sekarang lagi banyak upcoming players yang bagus berbanding dulu," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, peranan daripada media amat penting bagi membantu mendedahkan sukan boling tersebut kepada orang luar.
"Pendapat saya, liputan media memainkan peranan untuk meningkatkan lagi perhatian orang kepada boling sebab boling salah satu sukan Malaysia yang membawa balik banyak pingat di pertandingan dunia," jelasnya.
BACA LAGI: Isu teknikal punca Kedah dilarang daftar pemain, FIFA akan tarik semula sekatan
Pemain boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan meraih pingat emas dalam acara individu pada Kejohanan Dunia. — Instagram/natasharosaln_
BACA LAGI: [VIDEO] Identiti penjaga gol bertopeng JDT cetus tanda tanya, GK Filipina jadi sebutan
Di samping itu, bercakap mengenai Shalin Zulkifli, Natasha sempat berkongsikan pengalamannya menjadi jurulatihnya ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor.
"Pernah. Beliau adalah coach saya masa saya join Sukma di Selangor dulu," kongsinya.
Tambahnya lagi, Shalin turut menasihatinya sekiranya mahu mengekalkan prestasi sebagai seorang pemain untuk jangka masa yang panjang.
"Nasihat yang saya paling tak boleh lupa dia pernah cakap adalah you are only as good as your last tournament.
"Maksudnya kena sentiasa focus and training walaupun dah menang, so ia boleh mengekalkan prestasi untuk masa yang lama," katanya lagi.
Memegang gelaran sebagai juara dunia, Natasha turut memberikan nasihat kepada wajah baharu atau ubi muda yang berminat untuk menyertai sukan berkenaan.
"Nasihat saya adalah sentiasa berkerja keras dan jangan putus asa, player yang bagus tak akan rasa training mereka dah cukup, mesti ada benda yang kena belajar," ujarnya.
Ditanya mengenai harapan mengenai sukan boling pada masa akan datang, Natasha mahu mempertahankan kejuaraan yang diraihnya tahun lepas.
"Harapan saya sendiri sudah pasti mahu mempertahankan juara dunia saya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram